Images
  • quarantine escape covid-19 australia
    (Gambar: Facebook/Western Australia Police Force)

Gara-gara mahu lari dari kuarantin, lelaki ini sanggup paut pada cadar turun dari tingkap hotel

SYDNEY: Seorang lelaki di bandar Perth, Australia melarikan diri dari kuarantin wajib di sebuah hotel dengan menurunkan tali yang diperbuat daripada ikatan cadar-cadar katil menerusi jendela tingkat empat.

Demikian menurut polis pada Selasa (20 Jul).

Setelah tiba di bandar West Coast menaiki penerbangan rentas negeri dari Brisbane, permohonan kemasukan lelaki itu ditolak di bawah peraturan ketat COVID-19 di sempadan wilayah itu, yang bertujuan untuk menghalang COVID-19 daripada menyusup masuk ke tempat-tempat lain di negara itu.

Lelaki berkenaan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan wilayah tersebut dan dibawa ke sebuah hotel untuk menjalani kuarantin sementara. Namun sejurus sebelum pukul 1.00 pagi hari Selasa, "dia keluar dari tingkap bilik di tingkat empat menggunakan tali yang diperbuat daripada cadar katil dan melarikan diri dari kawasan itu", menurut Polis Australia Barat dalam catatan Facebook.

Pihak berkuasa itu juga memuat naik gambar-gambar tali buatan sendiri yang tergantung dari jendela di tingkat teratas bangunan itu yang mencecah tingkat bawah.

Polis kemudian menahan lelaki itu di seberang bandar sekitar lapan jam kemudian dan mendakwanya kerana tidak mematuhi arahan dan memberikan "maklumat palsu/mengelirukan".

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan identiti lelaki tersebut selain menyatakan dia berusia 39 tahun dan diuji negatif virus tersebut. Pihaknya juga tidak mendedahkan alasan bagi tingkah laku lelaki itu.

Australia berjaya mencatat kes jangkitan dan angka korban akibat COVID-19 yang lebih rendah berbanding banyak negara maju lain. Ini sebahagiannya hasil penutupan sempadan negara dan wilayah serta langkah kuarantin hotel bagi sesiapa yang tiba dari luar negara, atau yang melakukan perjalanan rentas wilayah semasa berlaku penularan.

Dasar itu bagaimanapun mencetuskan beberapa insiden orang melarikan diri. Ini termasuk satu kejadian dalam bulan ini melibatkan seorang wanita yang memanjat turun dari dua balkoni dan menendang pintu sehingga pecah untuk mengelak kuarantin di hab wilayah timur laut, Cairns.

- Reuters/TQ/tq

Top