Images
  • woman-abuse
    (Gambar: CNA)

Gara-gara jumpa rambut dalam makanan, lelaki ini cukur...

DHAKA: Seorang lelaki Bangladesh yang mencukur kepala isterinya gara-gara menemui rambut dalam sarapan sudah ditahan, kata polis pada Selasa (8 Okt).

Polis menyerbu sebuah kampung di daerah barat daya Joypurhat dan menangkap Bablu Mondal, 35 tahun, selepas penduduk kampung memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Dia jumpa rambut manusia dalam nasi dan susu yang disedikan isterinya, kata ketua polis tempatan, Encik Shahriar Khan kepada AFP.

"Dia jadi marah apabila nampak rambut itu dan menyalahkan isterinya. Dia kemudian mengambil bilah dan mencukur kepala isterinya,” kata beliau.

Encik Khan berkata, Bablu didakwa ‘secara sengaja menyebabkan kecederaan parah,’ satu kesalahan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun selain mencabul kehormatan isterinya yang berusia 23 tahun.

Menurut para aktivis, kejadian tersebut menunjukkan penindasan wanita yang kian meningkat di Bangladesh meskipun terdapat undang-undang bagi melindungi mereka daripada penderaan dan serangan seksual.

Kumpulan hak asasi tempatan Ain o Salish Kendra menyatakan secara purata terdapat tiga kes rogol setiap hari dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.  

- AFP/NA/na

Top