Gara-gara ingin usir ular gunakan asap, rumah ini musnah ditelan api
Gara-gara ingin usir ular gunakan asap, sebuah rumah musnah ditelan api dengan pemiliknya menanggung kerugian AS$1 juta.
POOLESVILLE: Sebuah rumah di Maryland secara tidak sengaja musnah dijilat api dek perbuatan pemiliknya sendiri yang berniat menghapuskan ular dari rumah tersebut.
Pemilik rumah dari Poolesville, sebuah bandar sekitar 40 kilometer di luar Washington D.C., sedang menggunakan asap untuk mengusir ular dari rumahnya, menurut pegawai di Jabatan Bomba Montgomery County.
Dalam proses tersebut, rumahnya terbakar dan menyebabkan kerosakan sekitar AS$1 juta (S$1.37juta), lapor AP yang menukil The Washington Post.
Kebakaran itu berlaku sekitar 10 malam pada 23 November, kata pegawai. Jurucakap bagi jabatan bomba daerah itu, Pete Piringer, menulis di Twitter bahawa 75 ahli bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran yang bermula di besmen rumah tersebut.
Encik Piringer menambah kebakaran itu disebabkan arang yang diletakkan terlalu dekat dengan bahan mudah terbakar. Tambahnya kejadian itu berlaku secara tidak sengaja. Mujur, tiada orang cedera dalam kejadian tersebut.
Bagaimana pula dengan nasib ular yang ingin diusir?
Jawab beliau, "tidak dipasti".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.