Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gara-gara cuba merogol, lelaki diarah cuci pakaian semua wanita sekampung selama 6 bulan

Seorang lelaki India yang dituduh atas kesalahan percubaan merogol diberikan ikat jamin dengan syarat dia perlu membasuh dan menggosok pakaian semua wanita di kampungnya selama enam bulan.

Anggaran Waktu Membaca:

PATNA: Seorang lelaki India yang dituduh atas kesalahan percubaan merogol diberikan ikat jamin dengan syarat dia perlu membasuh dan menggosok pakaian semua wanita di kampungnya selama enam bulan.

Lalan Kumar, 20 tahun, juga perlu membeli sabun pencuci baju dan barangan lain yang diperlukan untuk menyediakan khidmat cuci pakaian secara percuma kepada sekitar 2,000 wanita di kampungnya di Majhor di wilayah Bihar, India, di bawah syarat yang ditetapkan pada Rabu (22 Sep).

Kumar yang bekerja sebagai tukang cuci pakaian, diberkas pada April lalu atas beberapa tuduhan termasuk percubaan merogol, kata pegawai polis Santosh Kumar Singh di daerah Madhubani di Bihar, kepada AFP.

Setakat in, tiada tarikh ditetapkan bagi perbicaraannya.

"Semua wanita di kampung ini berasa gembira dengan keputusan mahkamah," kata ketua jawatankuasa kampung Nasima Khatoon kepada AFP.

"Ini detik bersejarah. Ia akan meningkatkan sikap hormat kepada kaum wanita dan membantu melindungi maruah," kata Cik Khatoon, yang merupakan salah seorang daripada ketua kampung yang akan memantau Kumar.

Kaum wanita di kampung itu berkata hukuman tersebut meninggalkan kesan positif dengan menjadikan perbuatan jenayah terhadap wanita satu topik perbincangan dalam masyarakat mereka.

"Ini merupakan langkah luar biasa dan jenis hukuman berlainan yang menghantar mesej kepada masyarakat," kata Anjum Perween.

Undang-undang bagi kesalahan merogol di India dirombak menyusuli kejadian merogol beramai-ramai pada 2012 di New Delhi namun bilangan kes rogol kekal tinggi dengan lebih 28,000 kes rogol dilaporkan pada 2020.

Polis selama ini dituduh tidak sedaya upaya mwngambil tindakan untuk mencegah jenayah kejam itu dan gagal membawa kes-kes serangan seksual ke mahkamah.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan