Images
  • evict signboard
    (Gambar: Twitter)

Gara-gara bimbang COVID-19, tuan rumah halau pelajar M'sia dari rumah sewa di Perth

MALAYSIA: Seorang warga Malaysia yang menuntut di Australia dilaporkan dihalau keluar dari rumah sewanya di Perth baru-baru ini, dek kebimbangan tuan rumah tersebut terhadap virus korona COVID-19.

Agensi berita ABC pada Khamis (13 Feb) melaporkan, pelajar itu baru pulang dari Malaysia untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Namun beliau terkejut apabila kepulangannya disambut dengan papan tanda yang menunjukkan pesanan dari tuan rumah, serta barang-barangnya diletakkan di luar rumah tersebut.

Lebih malang lagi, pelajar itu tiba di kediaman tersebut dan menerima khabar dirinya dikunci luar rumah pada kira-kira 4.00 pagi, menurut ABC.

Notis di luar rumah itu berbunyi: "AMARAN - DILARANG MENCEROBOH"

"Rumah dikunci ekoran virus korona"

Notis yang ditujukan kepada pelajar itu yang identitinya tidak didedahkan ABC, menambah: "Disebabkan anda gagal menghubungi saya (tuan rumah) sedang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (mengisytiharkan) KECEMASAN GLOBAL berhubung virus korona, anda tidak lagi dialu-alukan (welcome) di rumah ini)."

ABC melaporkan tuan rumah tersebut turut menghantar pesanan teks kepada pelajar itu, namun ia hanya diterima setelah pelajar itu tiba di Australia.

Pelajar tersebut memberitahu ABC bahawa beliau berasa hampa dan keliru, kerana hanya pulang ke Malaysia dan tidak ke China, khususnya bandar Wuhan, di mana virus COVID-19 mula merebak.

Polis Australia pula dilaporkan tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada perjanjian rasmi antara pelajar tersebut dengan tuan rumah.

Pelajar itu kini dilaporkan menginap di rumah seorang rakan. 

- Agensi berita/TQ/tq

Top