Images
  • koala
    Ibu koala, ditemui dengan kesan lecur di bahagian belakang badan dan telinganya, mendakap anaknya. (Gambar: Wildcare Australia Inc./Facebook)

Gambar ibu koala kelecuran peluk anak selepas kebakaran sentuh hati netizen

GOLD COAST: Gambar memaparkan seekor beruang koala, yang ditemui dengan kesan terbakar, memeluk anaknya menyentuh hati pengguna media sosial.

Polis menjumpai si ibu dengan kesan lecur di bahagian belakang badan dan telinga ketika melakukan kerja-kerja menyelamat di Canungra, pedalaman Gold Coast, pada petang Jumaat (6 Sep), menurut agensi berita Ladbible.

Ketika ditemui, koala itu berada di atas sebatang pokok yang tumbang bersama anaknya yang tidak mengalami kecederaan.

"Segala-galanya musnah di sekelilingnya. Si ibu memeluk anaknya, seolah-olah sedang melindunginya," kata Sarjan Kanan, Peter Waugh, kepada The Beaudesert Times.

Kedua-dua haiwan itu kemudian dibawa ke pusat hidupan liar Queensland dan menerima rawatan.

Sejak beberapa hari lalu, kebakaran belukar besar-besaran berlaku di Canugra dan beberapa kawasan lain di pedalaman Queensland, Australia, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 keluarga hilang tempat tinggal.

Biarpun sudah berjaya dikawal, pihak berkuasa belum memberi kebenaran kepada orang ramai untuk kembali ke kawasan itu yang masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

- Agensi berita/FZ/fz

Top