Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gadis 'tidak wajar' dijatuhi hukuman penjara, akhirnya bunuh diri kerana dibuli

Seorang penuntut universiti bertindak membunuh diri selepas terus-menerus "dibuli dan dianiaya" banduan lain dalam penjara.

Anggaran Waktu Membaca:
Gadis 'tidak wajar' dijatuhi hukuman penjara, akhirnya bunuh diri kerana dibuli

(Gambar hiasan: Reuters)

Diterbitkan : 22 Oct 2018 09:28PM Dikemas Kini : 22 Oct 2018 09:34PM

SCOTLAND: Seorang penuntut universiti bertindak membunuh diri selepas terus-menerus "dibuli dan dianiaya" banduan lain dalam penjara.

Baru berusia 21 tahun, Katie Allan terpaksa meringkuk dalam penjara bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga melanggar seorang pejalan kaki.

Mangsa dalam kejadian itu bagaimanapun tidak cedera parah. Semasa kesnya dibicarakan di mahkamah, keluarga mangsa memohon kepada hakim supaya Katie tidak dipenjarakan. Namun, Katie akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

Satu laporan siasatan sosial turut menyarankan Katie, seorang mahasiswa ilmu alam di Universiti Galsgow yang bercita-cita menjadi seorang cef, seharusnya tidak dipenjarakan.

Semasa di penjara, Katie sering diganggu banduan lain sehingga membuatnya berasa begitu tertekan dan mengalami keguguran rambut, lapor Mirror UK.

Dalam satu insiden, beliau pernah dipaksa berbogel di hadapan kakitangan penjara semasa satu latihan dijalankan.

Katie meninggal dunia hanya lima bulan selepas menjalani hukuman penjara. Menurut seorang rakannya, Katie seperti "kambing dalam kandang serigala".

Beliau terutama sekali takut dengan seorang banduan yang sering memaksa supaya membantunya untuk mendapatkan tembakau.

Rakannya memberitahu The Sun: "Pastinya beliau dibuli. Perkara itu dan persekitaran penjara membuatnya bertindak membunuh diri. Beliau seharusnya tidak perlu meringkuk di penjara."

Katie sempat dipindahkan ke penjara lain kerana sering dibuli sesetengah banduan, namun beliau terus hidup sengsara.

Selepas usianya menginjak 21 tahun, beliau dipindahkan dari tempat khas bagi para banduan muda dan direman dengan "banduan lain yang lebih dewasa dan pernah melakukan kesalahan serius".

Rakannya menambah: "Beliau seorang gadis yang baik dan manis sekali."

IBU BAPA TUNTUT KEADILAN BAGI ANAK

Gambar hiasan.

Katie berusia 20 tahun ketika ditahan polis kerana melanggar seorang remaja berusia 15 tahun. Seorang saksi mencatat nombor platnya semasa kejadian.

Ibu bapa Katie menuntut keadilan bagi puteri mereka. Mereka akur beliau sudah melakukan kesalahan dan selayaknya perlu dihukum. Namun, mereka mempertikaikan hukuman dan keadilan terhadapnya.

Mereka marah dengan keterangan pegawai polis yang memberitahu mahkamah bahawa "tidak munasabah" jika Katie tidak dihumban ke dalam penjara.

Ibu bapanya turut menukil kes-kes serupa di mana para pesalah tidak dikenakan hukuman penjara.

Ibunya, Cik Linda, berkata: "Katie dibuli dan jelas beliau berasa tertekan. Rambutnya gugur."

"Semasa saya terakhir kali melawatnya, saya dapat lihat sesuatu yang tidak kena. Beliau kelihatan begitu penat dan seolah-olah tidak dapat waktu tidur yang mencukupi kerana terus diganggu.

"Kami memberitahu perkara ini kepada para pegawai penjara dan kami tahu, sebelum beliau meninggal, mereka memberitahunya bahawa beliau akan dipindahkan ke 'penjara banduan dewasa'. Katie pasti ketakutan."

Ternyata, keluarga mangsa juga bersetuju bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas Katie tidak adil.

Cik Margaret Keenan, ibu mangsa kemalangan tersebut, memberitahu Metro UK: "Katie dihukum dengan cara yang tidak kami inginkan dan kami bersedih apabila mendapat tahu beliau meninggal dunia.

"Katie pernah menulis kepada kami semasa beliau berada dalam penjara untuk memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau tidak menyedari sudah melanggar anak kami.

"Semua yang berlaku benar-benar satu tragedi bagi keluarganya."  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan