Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gabungan RTM dan Bernama bagi saingi agensi antarabangsa

Gabungan dua entiti itu dilaksanakan bagi menonjolkan wajah baru dan bersaing dengan agensi berita antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Gabungan RTM dan Bernama bagi saingi agensi antarabangsa

Radio Televisyen Malaysia. (Gambar: Facebook RTM/Radio Televisyen Malaysia)

Diterbitkan : 26 Jul 2018 12:44PM Dikemas Kini : 26 Jul 2018 12:47PM

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo berharap rancangan penggabungan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan lagi, menurut satu laporan Malaysiakini.

Beliau berkata sudah tiba masanya penggabungan dua entiti di bawah kementeriannya itu dilaksanakan bagi menonjolkan wajah baru dan bersaing dengan agensi berita antarabangsa.

“Saya rasa ini yang kita perlu lakukan iaitu melangkah lebih jauh ke depan. Kementerian mengambil kira saluran pesaing-pesaing seperti Reuters, CNN dan Al Jazeera.

“Kena faham dunia sudah maju dan ia terpulang kepada kita. Jika kita tidak bergerak pantas atau tidak mengakui sudah tiba masanya untuk bersaing, perkara itu akan membuatkan kita jauh ketinggalan,” katanya.

Malaysiakini melaporkan bahawa Gobind berkata demikian kepada pihak media ketika ditemui di majlis menayangan dokumentari berjudul 'Incarcerated Rhythm', di Kuala Lumpur, malam semalam (25 Jul).

Turut hadir, Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Selain langkah penjimatan kos pengurusan, beliau percaya gabungan yang akan membentuk sebuah “Dapur Media” itu dapat menaik taraf kandungan-kandungan program yang disiarkan.

“Idea keseluruhan untuk penggabungan RTM dan Bernama adalah cuba untuk meningkatkan kualiti produksi. Saya sudah melihat kebolehan kedua-dua RTM dan Bernama, mereka ada kelebihan dan kekurangan masing masing.

“Jika kita mampu gabungkan kekuatan ini bersama kita boleh menyalurkan wang ke saluran lain dan dapat tingkatkan nilai serta kualiti berita dihasilkan pada tahap berlainan,” kata beliau dalam laporan Malaysiakini tersebut.

Bagi melaksanakan pembaharuan berkenaan, Bernama dan RTM diarah menyerahkan kertas kerja cadangan penggabungan kedua-dua pertubuhan itu, menjelang hujung bulan ini sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Encik Gobind berkata, kementeriannya menganggap tugas yang ingin dilaksanakan sebagai satu cabaran hebat.

“Justeru, saya komited untuk berbuat demikian. Saya berharap boleh mencapai kata putus dengan segera,” kata beliau lagi.

Sumber : Agensi berita/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan