Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

G7 dijangka derma 1 bilion vaksin COVID-19 kepada negara miskin

Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengharapkan negara-negara anggota G7 akan bersetuju untuk menderma 1 bilion dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara miskin di sidang puncak pada Jumaat (11 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
G7 dijangka derma 1 bilion vaksin COVID-19 kepada negara miskin

Gambar fail: REUTERS

Diterbitkan : 11 Jun 2021 09:00AM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 09:37AM

CARBIS BAY: Perdana Menteri Britain Boris Johnson mengharapkan negara-negara anggota G7 akan bersetuju untuk menderma 1 bilion dos vaksin COVID-19 kepada negara-negara miskin di sidang puncak pada Jumaat (11 Jun).

Ini akan dapat bantu memberi suntikan vaksin kepada seluruh dunia menjelang hujung tahun depan.

Hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berikrar untuk menggandakan usaha dalam perang menentang koronavirus dengan menderma 500 juta vaksin Pfizer, PM Johnson pula mengumumkan bahawa Britain akan menyumbang sekurang-kurangnya 100 juta lebihan bekalan vaksin kepada negara-negara miskin.

PM Johnson sudahpun menggesa para pemimpin G7 agar menyatakan komitmen untuk memberi suntikan vaksin kepada warga sejagat menjelang hujung tahun 2022 dan kumpulan itu diharap mengikrarkan 1 bilion dos sewaktu sidang puncak tiga hari itu yang berlangsung di tempat penginapan tepi pantai Carbis Bay.

Sesetengah pihak mengutuk rancangan itu, mengatakan bahawa ia bak titisan dalam lautan luas dengan Oxfam menganggarkan hampir 4 bilion orang bergantung kepada COVAX untuk mendapatkan vaksin. COVAX merupakan program yang mengedarkan vaksin-vaksin COVID-19 kepada negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

"Disebabkan kejayaan program vaksin UK, kami sekarang mampu mengongsi beberapa dos lebihan bersama mereka yang memerlukan," kata PM Johnson pada Jumaat, menurut sedutan pengumuman yang dikeluarkan pejabatnya.

"Dengan melakukan demikian, kami akan mengorak langkah besar dalam melawan pandemik ini sama sekali."

COVID-19 telah meragut nyawa kira-kira 3.9 juta orang dan menjejas ekonomi sejagat, dengan jangkitan dilaporkan di lebih 210 negara dan wilayah sejak kes pertama disahkan di China pada Disember 2019.

Namun, dengan penduduk dunia mencecah hampir 8 bilion dan kebanyakan orang memerlukan dua dos vaksin bahkan ada yang memerlukan suntikan tambahan untuk melawan varian-varian lain, beberapa pihak menyatakan bahawa komitmen sedemikian menandakan satu permulaan tetapi para pemimpin dunia harus mempertingkatkan dan mempercepatkan lagi usaha mereka.

"Matlamat G7 untuk menyediakan 1 bilion dos suntikan harus dilihat sebagai langkah paling minimum dan rangka masanya mesti dipendekkan," gesa Cik Lis Wallace dari kumpulan kempen anti kemiskinan, ONE.

"Kami sedang dalam perlumbaan menentang virus ini dan lagi lama ia mendahului kami, lagi tinggi risiko varian baru dan lebih merbahaya, menghambat kemajuan global."

Daripada 100 juta vaksin yang akan dihulurkan Britain, 80 juta bakal disumbangkan kepada program COVAX yang dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) manakala bakinya dikongsi bersama negara-negara lain yang memerlukan.

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan