Images
  • Sinovac vaccine
    Gambar fail vaksin Sinovac. (Gambar: REUTERS/Thomas Peter/File Photo

Filipina lulus vaksin Sinovac COVID-19 tetapi bukan untuk petugas kesihatan

MANILA: Filipina meluluskan vaksin Sinovac Biotech COVID-19 untuk penggunaan kecemasan, tetapi bukan untuk petugas jagaan kesihatan yang berisiko terdedah kepada virus itu disebabkan tahap keberkesanan vaksin yang berbeza-beza.

Demikian menurut Agensi Makanan dan Perubatan (FDA) hari ini (22 Feb).

Data ujian peringkat akhir menunjukkan keberkesanan vaksin itu rendah apabila diberikan kepada petugas kesihatan yang terdedah kepada COVID-19 berbanding jika diberikan kepada individu-individu sihat dalam lingkungan usia 18 dengan 59 tahun, menurut Ketua FDA, Rolando Enrique Domingo.

Filipina mempunyai sekitar 1.4 juta petugas khidmat kesihatan.

"Menurut pakar kami, vaksin (Sinovac) bukan vaksin terbaik untuk mereka," kata Encik Domingo, merujuk kepada petugas kesihatan.

Beliau memetik keputusan ujian klinikal vaksin CoronaVac Sinovac di Brazil, Turki dan Indonesia.

CoronaVac adalah calon ketiga vaksin yang menerima kelulusan bagi penggunaan kecemasan di negara Asia Tenggara yang mempunyai lebih 108 juta penduduk.

Ini membolehkan penghantaran bagi 600,000 dos vaksin Sinovac yang dipersetujui oleh China untuk didermakan kepada Filipina, yang dijadual tiba esok (23 Feb) tetapi ditangguhkan kerana belum diluluskan.

Filipina, yang merupakan negara kedua dengan jumlah kes jangkitan dan kematian tertinggi COVID-10 di Asia Tenggara, masih belum memulakan kempen vaksinasi.

Ia bergantung kepada 117,000 vaksin Pfizer dan BioNTech yang ditempah menerusi kemudahan perkongsian vaksin antarabangsa COVAX untuk memulakan program vaksinasi negara tersebut.

Bagaimanapun, persoalan tentang siapa yang akan membayar tuntutan sekiranya berlaku kesan sampingan akibat vaksin-vaksin tersebut telah melengahkan program tersebut.

- Reuters/NK/nk

Top