Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Filipina lancarkan program tukar sisa plastik dengan beras

Sisa yang dibuang seseorang individu berubah menjadi hidangan buat seseorang yang lain bagi sesetengah penduduk kampung di Filipina.

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina lancarkan program tukar sisa plastik dengan beras

Veronica Dolorico menyerahkan beg plastik sisa yang dikumpulkan untuk ditukarkan dengan beras. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 12 Sep 2019 07:32PM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 07:34PM

MANILA: Sisa yang dibuang seseorang individu berubah menjadi hidangan buat seseorang yang lain bagi sesetengah penduduk kampung di Filipina. Ini tidak mustahil dengan pelancaran program pertukaran beras dengan sampah untuk bukan sahaja membantu sekitaran malah juga menyediakan makanan kepada orang awam.

Sejak Jun lalu, para pegawai dari perkampungan Bayanan di pinggir Manila memulakan pertukaran satu kilogram beras bagi setiap dua kilogram sisa plastik yang dikumpulkan. Sisa yang dikumpulkan itu kemudian akan diserahkan kepada pemerintah bagi pembuangan atau kitar semula yang betul.

Veronica Dolorico, 49 tahun, adalah dalam kalangan peserta bersemangat yang menggelar dirinya "ibu sekitaran".

Isteri kepada penunggang beca dengan empat orang anak itu akan meronda di sekitar kawasan kejiranannya untuk mengumpulkan sisa sama ada dengan mengutipnya di jalan raya atau daripada jiran tetangga.

Satu kilogram beras berharga sekitar 30 hingga 40 peso (S$0.80-S$1.00) dan ia agak mahal bagi mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan $241 sebulan.

"Ini adalah satu bantuan besar bagi kami untuk mendapatkan satu kilogram beras setiap hari," ujar Veronica setelah menghantar pungutan bulanannya kepada para pegawai kampung itu.

Ketua kampung Andor San Pedro berkata bagi bulan Ogos, lebih 213 kilogram uncang, botol dan beg plastik dikumpulkan dengan lebih ramai keluarga menunjukkan minat untuk menyertai program tersebut.

Meskipun program pertukaran itu mungkin tidak membantu dalam mengurangkan pengambilan plastik, Andor berkata ia tetap mendidik orang ramai supaya membuang sisa mereka dengan betul.

Filipina adalah dalam kalangan negara pencemar plastik marin utama, menurut sebuah laporan pada 2015 oleh kumpulan sekitaran Ocean Conservancy serta Pusat McKinsey bagi Perniagaan dan Sekitaran.

Undang-undang Filipina berhubung sisa pepejal dikuatkuasakan secara lemah dan negara itu tidak mengawal pengeluaran bungkusan.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan