Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Facebook padam 5.4 bilion akaun palsu tahun ini

Facebook pada Rabu (13 Nov) mengumumkan pihaknya sudah memadam sekitar 5.4 bilion akaun palsu tahun ini, selain jutaan catatan yang memaparkan penderaan budak dan bunuh diri, sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras manipulasi dan maklumat palsu di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook padam 5.4 bilion akaun palsu tahun ini

Mark Zuckerberg. (Gambar: JUSTIN SULLIVAN/AFP)

Diterbitkan : 14 Nov 2019 09:02PM Dikemas Kini : 14 Nov 2019 09:11PM

SAN FRANCISCO: Facebook pada Rabu (13 Nov) mengumumkan pihaknya sudah memadam sekitar 5.4 bilion akaun palsu tahun ini, selain jutaan catatan yang memaparkan penderaan budak dan bunuh diri, sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras manipulasi dan maklumat palsu di media sosial.

Antara April hingga September, Facebook menyatakan ia memadamkan 3.2 bilion akaun palsu.

Dengan berleluasanya percubaan membuka akaun palsu, Facebook menyatakan pihaknya juga mempergiat pertahanan dan kerap memadamkan akaun-akaun sedemikian dalam masa beberapa minit setelah ia dibuka.

Facebook percaya bahawa akaun-akaun palsu itu - yang melibatkan seseorang menyamar sebagai orang atau entiti yang tidak wujud - membentuk sekitar 5 peratus pengguna aktifnya di serata dunia pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

Rangkaian sosial itu sudah banyak membuat pelaburan dalam pencarian dan pemadaman akaun-akaun palsu yang direka untuk memperdaya orang berhubung sumber sesuatu maklumat, terutamanya apabila penyebaran maklumat itu adalah sebahagian kempen yang diselaraskan dengan agenda politik atau sosial.

MEMBANTERAS KANDUNGAN JIJIK

Satu laporan ketelusan terperinci buat pertama kalinya juga merangkumi Instagram, Facebook mengetengahkan kemajuan yang dicatatnya dalam membanteras catatan-catatan berkaitan dengan pengganasan, kebencian, bunuh diri, pornografi budak dan dadah.

Instagram dikenal pasti oleh penyelidik maklumat palsu sebagai satu ruang penyebaran berita palsu yang kian membimbangkan.

Syarikat itu sudah memadam lebih 11.6 juta kandungan lucah memaparkan budak dan penderaan seksual budak di Facebook dan 754,000 kandungan sedemikian di Instagram pada suku ketiga tahun ini.

Facebook juga mengumumkan perangkaan berhubung kandungan melibatkan kelakuan mencederakan diri sendiri dalam laporan itu. Pihaknya mendedahkan 2.5 juta kandungan yang memaparkan atau menggalak tindakan mencederakan diri, dipadam pada suku ketiga tahun ini.

4.4 juta kandungan melibatkan penjualan dadah juga dipadamkan pada suku yang sama.

"Meskipun kami gembira dengan kemajuan ini, teknologi sebegini tidak sempurna dan kami tahu kesilapan masih boleh berlaku," menurut kenyataan Facebook.

"Lantaran itu kami secara berterusan melabur dalam sistem yang mengupayakan kami memperbaiki ketepatan kami dalam memadam kandungan yang melanggar dasar-dasar kami sementara melindungi kandungan yang membincangkan atau menyelar ucapan berbaur kebencian."

Sumber : AFP/Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan