Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Facebook mohon maaf atas gangguan khidmat sekali lagi

Facebook Inc meminta maaf kepada para pengguna susuli gangguan khidmat selama dua jam pada Jumaat (8 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook mohon maaf atas gangguan khidmat sekali lagi

Logo Facebook (Gambar fail: REUTERS/Stephen Lam)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 08:54AM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 08:55AM

REUTERS: Facebook Inc meminta maaf kepada para pengguna susuli gangguan khidmat selama dua jam pada Jumaat (8 Okt).

Syarikat itu juga menyatakan bahawa gangguan kali ini berlaku disebabkan kesilapan pertukaran tatarajah.

Facebook Inc mengesahkan bahawa wadah-wadah media sosial Instagram, Messenger dan Workplace terjejas oleh gangguan terkini itu.

"Mohon maaf kepada sesiapa yang tidak dapat mengakses produk-produk kami sepanjang beberapa jam lalu," menurut syarikat itu. "Kami sudah membaiki isu itu dan segalanya harus kembali normal sekarang ini."

Semasa gangguan khidmat yang terbaru ini, sesetengah pengguna tidak dapat mengakses Instagram, manakala ada yang tidak dapat menghantar mesej menerusi Facebook Messenger.

Ramai orang kemudian menulis catatan di Twitter untuk berkongsi 'meme' dan jenaka tentang gangguan khidmat yang berlaku buat kali kedua minggu ini.

"Nampaknya seperti Facebook mempunyai waktu bekerja tiga hari seminggu. Isnin dan Jumaat ditutup?" seloroh seorang pengguna Twitter.

Instagram pula mengucapkan terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran mereka dan "bagi semua 'meme' yang dikongsi pada minggu ini".

Pada Isnin (4 Okt), syarikat gergasi media sosial itu mempersalahkan "kerosakan pertukaran tatarajah" bagi gangguan khidmat selama hampir enam jam yang menghalang 3.5 bilion pengguna daripada mengakses wadah media sosial dan khidmat menghantar mesej seperti WhatsApp, Instagram dan Messenger.

Gangguan yang berlaku pada Isnin itu merupakan yang terbesar pernah dilihat oleh kumpulan pemantauan laman Downdetector dan beberapa bilion pengguna dihalang daripada mengakses aplikasi mudah alih itu selama beberapa jam.

Ekoran gangguan itu, ramai orang yang beralih kepada wadah-wadah media sosial dan kiriman mesej yang lain.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan