Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Facebook, Instagram, WhatsApp beransur pulih selepas 6 jam alami gangguan

Facebook dan Instagram nampaknya sedang beransur pulih pada petang Isnin (4 Okt), setelah hampir enam jam mengalami gangguan yang melumpuhkan platform wadah media sosial itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook, Instagram, WhatsApp beransur pulih selepas 6 jam alami gangguan

(Gambar fail: AFP/Lionel BONAVENTURE)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 08:17AM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 08:20AM

NEW YORK: Facebook dan Instagram nampaknya sedang beransur pulih pada petang Isnin (4 Okt), setelah hampir enam jam mengalami gangguan yang melumpuhkan platform wadah media sosial itu.

Facebook dan aplikasi-aplikasinya WhatsApp dan Instagram mengalami gangguan pada sekitar 12.00 tengah hari (Selasa, 12.00 tengah malam waktu Singapura), yang disifatkan oleh kumpulan pemantau laman web, Downdetector, sebagai gangguan terbesar yang pernah disaksikan, dengan 10.6 juta aduan masalah dilaporkan seantero dunia.

Sekitar 5.45 petang, sebilangan pengguna Facebook sudah mula dapat mengakses sebahagian aplikasi media sosial itu. WhatsApp terus mengalami masalah sambungan untuk sekurang-kurangnya sebilangan orang.

Gangguan itu juga merupakan tamparan kedua kepada gergasi media sosial itu dalam masa dua hari selepas seorang pengadu pada Ahad menuduh syarikat tersebut berulang kali mengutamakan keuntungan daripada membanteras ucapan yang berbaur kebencian dan menyebarkan maklumat yang salah.

Saham Facebook, yang mempunyai hampir 2 bilion pengguna aktif setiap hari, dibuka lebih rendah menyusuli aduan pemberi maklumat itu dan terus merosot 5.3 peratus pada sesi dagang petang Isnin. Saham itu diramal akan mencecah paras terendahnya dalam tempoh hampir setahun di tengah-tengah penjualan meluas saham teknologi.

Menurut para pakar keselamatan, gangguan itu mungkin disebabkan oleh kesilapan dalaman, namun perbuatan khianat oleh orang dalam secara teorinya juga merupakan satu kemungkinan.

Facebook tidak dapat diakses kerana pengguna tidak diarahkan ke tempat yang betul oleh Sistem Nama Domain (DNS). Facebook sendiri mengawal tetapan (setting) yang berkaitan.

DNS membolehkan alamat-alamat web membawa pengguna ke destinasi mereka. Gangguan serupa yang dialami oleh syarikat pengkomputeran awan Akamai Technologies melumpuhkan sejumlah lelaman web pada Julai.

Facebook mengakui bahawa para pengguna mengalami masalah untuk mengakses aplikasinya namun tidak memberikan perincian mengenai ciri-ciri masalah tersebut atau berapa ramai yang terjejas oleh gangguan tersebut.

Respons gergasi Internet itu disulitkan lagi dengan kesukaran para pekerjanya untuk mengakses beberapa peralatan mereka sendiri semasa gangguan itu berlaku, menurut pihak-pihak yang mengesan masalah itu.

Facebook pernah mengalami gangguan serupa pada rangkaian aplikasinya tahun ini pada Mac dan Julai.

Sebilangan pengguna yang menggunakan butiran akaun Facebook mereka untuk log masuk ke aplikasi pihak ketiga seperti Pokemon Go dan Match Masters turut menghadapi masalah ketika itu.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan