Images
  • SG-EU
    Bendera di sebuah tingkat di bangunan Majlis Kesatuan Eropah. (Gambar: REUTERS/Yves Herman/Files)

EU setuju lancar sekatan terhadap penindasan Rusia, rampasan kuasa tentera Myanmar

BRUSSELS: Para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin (22 Februari) bersetuju untuk mengenakan sekatan ke atas para pegawai Rusia kerana memenjarakan pengkritik Kremlin Alexei Navalny dan juga tentera Myanmar atas rampasan kuasa yang berlaku di negara itu, menurut utusan khas perkumpulan tersebut.

Rusia menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang "mengecewakan" dan "tidak sah di sisi undang-undang", manakala Amerika Syarikat pula menyambut baik keputusan untuk mengenakan tindakan terhadap Moscow.

Para diplomat memberitahu AFP bahawa sekatan-sekatan ke atas Rusia akan disasarkan terhadap empat pegawai kanan yang dianggap bertanggungjawab menganiaya Navalny, menggunakan rejim baru hak asasi manusia EU yang diluluskan pada tahun lalu.

Para diplomat bagaimanapun tidak pula mendedahkan nama individu-individu yang disasarkan, tetapi langkah itu dijangka akan mengecewakan sesetengah pihak yang menggesa tindak balas yang lebih tegas.

Rakan-rakan terdekat Navalny dan para penggubal undang-undang Eropah sebelum ini menggesa para menteri yang bersidang di Brussels supaya bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang dituduh membiayai pemerintahan Presiden Vladimir Putin.

Menteri Luar Jerman Heiko Maas berkata sekatan-sekatan itu bertujuan untuk menyampaikan "isyarat yang jelas bahawa perkara-perkara seperti ini tidak boleh diterima sama sekali".

"Tetapi penting untuk kita terus berdialog dengan Rusia," katanya.

Ketua Dasar Luar EU Josep Borrell bagaimanapun tidak pula mengesahkan jumlah individu yang disasarkan.

Encik Borrell setakat berkata bahawa beliau akan mengemukakan secara rasmi nama-nama yang akan dikenakan sekatan dan berharap langkah-langkah itu akan dapat dikuatkuasakan dalam masa seminggu.

Kementerian Luar Rusia menyatakan bahawa keputusan itu adalah "muslihat untuk mengenakan sekatan-sekatan baru secara sepihak terhadap warga Rusia dan ia sangat mengecewakan".

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, yang menyertai persidangan EU itu secara maya, "mengalu-laukan" keputusan tersebut, kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price.

TENTERA MYANMAR DISASARKAN

Para menteri Eropah juga bersetuju untuk meneruskan sekatan terhadap tentera Myanmar atas rampasan kuasa bulan ini, dan menghalang beberapa bantuan pembangunan.

"Kami mencapai perjanjian politik untuk melaksanakan sekatan yang menyasarkan tentera yang bertanggungjawab atas rampasan kuasa dan kepentingan ekonomi mereka," kata Encik Borrell.

"Semua sokongan kewangan langsung dari sistem pembangunan kami kepada program reformasi pemerintah ditahan."

Tentera menggulingkan dan menahan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa yang mengundang kecaman antarabangsa - dan melancarkan tindakan semakin keras terhadap para penunjuk perasaan.

Encik Borrell menegaskan blok itu tidak akan menyekat hubungan perdagangan dengan negara itu kerana langkah itu boleh menjejas penduduk awam.

- AFP/TQ/tq

Top