Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Eropah, China, Rusia runding perjanjian baru tawar bantuan kewangan kepada Iran

Para diplomat dari Eropah, China dan Rusia sedang merundingkan satu perjanjian baru untuk menawarkan bantuan kewangan kepada Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Eropah, China, Rusia runding perjanjian baru tawar bantuan kewangan kepada Iran

Loji nuklear Iran. (Gambar: AFP/Atta Kenare)

Diterbitkan : 20 May 2018 06:42PM Dikemas Kini : 20 May 2018 06:47PM

BERLIN: Para diplomat dari Eropah, China dan Rusia sedang merundingkan satu perjanjian baru untuk menawarkan bantuan kewangan kepada Iran.

Ini bagi mencegah pembangunan peluru berpandu balistik dan campur tangan Iran di rantau itu, dengan harapan untuk mengekalkan perjanjian nuklear 2015 dengan Tehran, menurut laporan sebuah akhbar Jerman hari ini (20 Mei).

Para pegawai dari negara tersebut akan mengadakan mesyuarat di Vienna pada minggu akan datang di bawah kepimpinan diplomat kanan Kesatuan Eropah (EU) Helga Schmid.

Ini bagi membincangkan langkah seterusnya selepas keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 8 Mei lalu, untuk mengundur diri daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Iran, menurut akhbar Welt am Sonntag, yang memetik sumber-sumber kanan EU.

Jerman, Perancis, Britain, Rusia dan China akan menyertai mesyuarat itu. Amerika Syarikat bagaimana pun tidak akan menyertainya, menurut akhbar itu lagi.

Sungguhpun demikian, masih belum jelas sama ada Iran - yang sebelum ini menolak gesaan agar mengawal program peluru berpandunya - akan menyertai mesyuarat tersebut.

PERJANJIAN TIDAK LIPUTI PROGRAM PELURU BERPANDU

Di bawah perjanjian 2015, Iran bersetuju untuk mengawal program nuklearnya jika pihak Barat menarik balik sebahagian sekatan ke atasnya.

Salah satu aduan utama pihak pentadbiran Encik Trump menyatakan perjanjian tersebut tidak meliputi program peluru berpandu Iran atau sokongannya kepada kumpulan-kumpulan bersenjata di Timur Tengah yang dianggap sebagai pengganas oleh Barat.

Memuktamadkan perjanjian baru yang akan mengekalkan peruntukan nuklear dan mengawal usaha pembangunan peluru berpandu balistik serta kegiatan Tehran di rantau itu boleh membantu meyakinkan Encik Trump untuk menarik balik sekatan terhadap Iran, menurut akhbar itu.

"Kami perlu mengubah nama 'Perjanjian Nuklear Vienna' dan menambah beberapa elemen baru. Hanya itu sahaja yang akan meyakinkan Presiden Trump untuk bersetuju dan sekali lagi menarik balik sekatan itu," menurut seorang diplomat kanan EU seperti yang dipetik akhbar itu.

Tiada komen diperolehi sejauh ini, daripada Kementerian Ehwal Luar Jerman.

Ketua Tenaga EU pula semalam (19 Mei) memberi jaminan kepada Iran bahawa kesatuan dengan 28 negara anggota itu kekal komited untuk meneruskan perjanjian nuklear tersebut dan memperkukuh perdagangan dengan Tehran.

Para pegawai dari EU, Jerman dan negara-negara lain yang kekal komited kepada perjanjian itu menyatakan keadaan akan menjadi teruk sekiranya usaha-usaha EU gagal mengekalkannya.

KEKALKAN PERJANJIAN NUKLEAR 2015 BERGANTUNG KEADAAN AKAN DATANG

Iran berdepan kesukaran untuk meraih manfaat kewangan daripada perjanjian tersebut, sebahagiannya disebabkan baki sekatan Amerika Syarikat ke atas program peluru berpandunya, yang menghalang para pelabur besar Barat daripada melakukan perdagangan dengan Tehran.

Para pegawai sedang mencari pendekatan baru memandangkan sulit bagi firma-firma Eropah untuk melepasi sekatan-sekatan baru yang dikenakan Amerika Syarikat, lapor akhbar itu lagi.

Ia menyatakan perjanjian baru itu mungkin termasuk bantuan kewangan berbilion dolar untuk Iran, sejajar dengan perjanjian EU yang memperuntukkan bantuan juga berbilion dolar kepada Turki kerana menerima jutaan pelarian dan menutup sempadannya. Ini sekaligus membantu menamatkan krisis pelarian 2015.

Iran dan negara-negara Eropah menunjukkan permulaan yang baik dalam rundingan tentang bagaimana untuk mengekalkan perjanjian 2015. Namun ini bergantung kepada apa yang akan berlaku pada beberapa minggu mendatang, menurut Menteri Ehwal Luar, Mohammed Javad Zarif pada minggu lalu.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan