Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Eropah benua pertama melepasi 50 juta kes COVID-19

Eropah menjadi benua pertama mencatat di mana kes jangkitan COVID-19 melepasi 50 juta, berdasarkan perangkaan terkini Reuters sedang penularan varian Delta menjadi punca kenaikan mendadak kes jangkitan di Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
Eropah benua pertama melepasi 50 juta kes COVID-19

Seorang pesakit COVID-19 terlantar di sebuah hospital di Eropah (Gambar: AFP/Thomas Kienzle)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 09:13PM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 09:19PM

LONDON: Eropah menjadi benua pertama mencatat di mana kes jangkitan COVID-19 melepasi 50 juta, berdasarkan perangkaan terkini Reuters sedang penularan varian Delta menjadi punca kenaikan mendadak kes jangkitan di Eropah.

Benua itu juga menyaksikan sejuta kes positif baru dicatatkan setiap lapan hari selain 1.3 juta kematian sejak pandemik itu bermula.

Varian Delta yang lebih pantas menular berbanding versi asal COVID-19 dikesan berada di sekurang-kurangnya 100 negara dan sekarang disenaraikan sebagai varian dominan di seluruh dunia.

Pasaran Eropah berdepan kejutan secara tiba-tiba pada Isnin (19 Jul) apabila pasaran saham susut lebih daripada dua peratus, sekali gus menjadikannya sesi terburuk dalam tempoh sembilan bulan.

Ia mengalami kejatuhan kerana kebimbangan terhadap varian Delta yang lebih cepat menular dan berpotensi memperlahankan pemulihan ekonomi global.

"Pelabur amat bimbang terhadap lanjutan pelaksanaan sekatan pergerakan dalam sebulan dua ini,"kata pengarah pelaburan di AJ Bell, Russ Mould.

"Jika COVID-19 menular lebih pantas lagi, sektor penerbangan, restoran dan riadah sudah pasti tidak dapat memanfaatkan peluang perniagaan sepanjang cuti musim panas ini, seperti yang dinantikan," katanya.

Eropah kekal benua yang paling teruk terjejas di dunia dengan menyumbang 27 peratus kes jangkitan dan 31 peratus kes kematian global.

Eropah cuma mengambil masa 194 hari untuk mencatat pertambahan seganda daripada 25 juta kepada 50 juta kes, sementara 25 juta kes pertama dilaporkan dalam jangka masa 350 hari.

Negara paling teruk terjejas ialah Rusia, yang mencatat lebih enam juta jangkitan.

Britain, yang mengumumkan 'Hari Kebebasan' semalam sebagai menandakan tamatnya sekatan ketat COVID-19, kini turut diancam penularan koronavirus lebih serius.

Perancis melaksanakan antara tindakan paling tegas di Eropah, termasuk memerlukan kad kesihatan bagi membuktikan sudah divaksinasi bagi memasuki sebahagian besar tempat bermula bulan depan selain mewajibkan semua pekerja kesihatan diberi suntikan vaksin.

Belanda minggu lalu mengumumkan pelaksanaan semula arahan bekerja dari rumah susulan peningkatan kes, hanya beberapa minggu selepas menamatkannya selain mengehadkan akses ke bar, restoran dan kelab malam.

Greece pula melaksanakan peraturan di mana hanya mereka yang sudah mendapat suntikan penuh dos vaksin COVID-19 dibenar masuk ke bar, restoran dan kafe, dalam usaha membendung jangkitan.  

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan