Images
  • Tayyib Erdogan
    Presiden Turki Tayyip Erdogan. (Gambar: Pavel Golovkin/Pool via REUTERS)

Erdogan kutuk peraturan mahkamah EU larang tudung di tempat kerja 'dalam sesetengah kes'

ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin (19 Jul) mengutuk keputusan mahkamah Kesatuan Eropah (EU) yang membenarkan majikan melarang kakitangan memakai tudung di tempat kerja dalam sesetengah kes.

Encik Erdogan, seorang Muslim yang taat yang memimpin sebuah parti bertunjangkan Islam, memperlihatkan dirinya sebagai penyokong umat Islam di seluruh dunia dan sering mempertahankan kepercayaan menentang Islamofobia.

Khamis lalu (15 Jul), Mahkamah Kehakiman Eropah (ECJ) memutuskan bahawa larangan simbol keagamaan seperti tudung 'mungkin dibenarkan atas keperluan majikan untuk menunjukkan imej yang neutral terhadap pelanggan atau untuk mengelakkan perselisihan sosial'.

Encik Erdogan berkata peraturan itu menghalang kebebasan beragama.

"Mahkamah harus mengubah namanya. Ia tidak menunjukkan hubungan dengan mahkamah pengadilan. Untuk menjadi sebuah mahkamah pengadilan, ia harus terlebih dahulu mengetahui apa kebebasan beragama," ujar Encik Erdogan.

"Tidak boleh ada mahkamah pengadilan yang tidak memahami kebebasan beragama," tambahnya semasa satu sidang media di Istanbul.

Turki mempunyai sejarah berkontroversi dan sensitif berkaitan dengan tudung.

Pada 2013, ketika Encik Erdogan menjadi perdana menteri, Turki menarik balik larangan mengenakan hijab di institusi negara yang sudah lama dikuatkuasakan.

Tiga tahun kemudian, pemerintah membenarkan polis wanita memakai tudung di bawah topi atau baret rasmi mereka.

Kementerian luar Turki pada Ahad berkata memberi amaran bahawa keputusan mahkamah tertinggi EU itu adalah 'berbahaya dalam hal mendorong kebencian terhadap Islam'.

Hubungan antara Ankara dengan Brussels menjadi tegang bertahun-tahun lamanya, dengan isu-isu yang menyebabkan ketegangan termasuk kegagalan untuk memulakan semula rundingan perdamaian di pulau Cyprus yang terbahagi serta hak asasi manusia di Turki.

- AFP/FZ/fz

Top