Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Erdogan dakwa AS rancang kejatuhan mata wang lira Turki

Jatuhnya lira 'plot politik' terhadap Turki; Ankara ancam cari sekutu baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Erdogan dakwa AS rancang kejatuhan mata wang lira Turki

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar: AFP/Mohamed Abdiwahab)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 06:13PM Dikemas Kini : 13 Aug 2018 06:14PM

ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Ahad (12 Ogos) berkata kejatuhan mata wang Lira Turki (TL) adalah "rancangan" Amerika Syarikat (AS).

Beliau memberi amaran Ankara akan mencari rakan kongsi serta pasaran baru jika AS enggan menarik balik dasar permusuhannya.

Demikian menurut agensi berita China Xinhua.

"Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa kami telah melihat plot anda dan kami mencabarnya. Tiada alasan dari segi ekonomi yang boleh menyebabkan mata wang TL menjunam seperti yang berlaku ketika ini.

'’Ini adalah satu plot bagi memaksa Turki menyerah kalah dalam setiap bidang, dari segi kewangan hinggalah politik. Tujuannya adalah untuk memastikan Turki dan rakyatnya melutut kepada mereka," katanya dalam satu mesyuarat di bandar Trabzon di Laut Hitam yang terletak di timur laut negara itu.

Presiden Erdogan berkata Turki kini mempertimbang pasaran dan alternatif politik lain bagi menggantikan "perkongsian strategiknya" dengan Washington, serta menyifatkan kejatuhan mata wang TL sebagai "perang ekonomi."

"Kami akan bertindak balas terhadap mereka yang mengisytiharkan perang perdagangan ke atas Turki dengan beralih ke arah pakatan dan pasaran baru," kata beliau yang sekali gus menimbulkan persoalan berhubung masa depan kerjasama antara Ankara dan Washington.

Presiden itu turut menolak penggunaan kadar faedah untuk melonjakkan TL yang telah kehilangan lebih 40 peratus nilainya sejak awal tahun ini, dan menyifatkan ia sebagai satu "alat eksploitasi."

Sekatan berbentuk hukuman yang belum pernah dilakukan telah diisytihar oleh Presiden Donald Trump ke atas dua menteri Turki susulan penahanan seorang paderi AS.

Langkah AS menggandakan tarif bagi keluli dan aluminium, telah merenggangkan hubungan antara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu sehingga jatuh ke paras paling rendah sejak berdekad lalu. 

Sumber : Bernama/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan