Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Enggan divaksin; pakar jelaskan bagaimana rasa sangsi terhadap vaksin COVID-19 berakar umbi

Ada jauhi vaksin kerana pernah lalui pengalaman pahit bila bertemu doktor. Ada pula yang enggan disuntik semata-mata tidak suka 'disuruh'. Seorang pakar kongsi pengalamannya bertemu orang-orang yang enggan atau rasa ragu terhadap vaksin...

Anggaran Waktu Membaca:
Enggan divaksin; pakar jelaskan bagaimana rasa sangsi terhadap vaksin COVID-19 berakar umbi

Seorang pekerja kesihatan memegang dulang-dulang vaksin COVID-19 di Bandar Quezon, Filipina, pada 13 Sep 2021. (Gambar hiasan: AP)

Diterbitkan : 05 Dec 2021 11:16PM Dikemas Kini : 05 Dec 2021 11:22PM

PARIS: Pemerintah dan saintis di seluruh dunia sedang giat memperjuangkan vaksinasi sebagai cara untuk menamatkan pandemik COVID-19.

Namun sementara sebahagian besar penduduk global masih tidak divaksin kerana masalah akses kepada bekalan, sebilangan pula memilih untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin.

Pakar sosiologi Perancis Jerome Gaillaguet, yang menemu bual mereka yang memilih untuk tidak divaksin, memberitahu AFP sebab yang mereka utarakan adalah pelbagai, malah juga ada yang mengejutkan:

ADAKAH WUJUD FENOMENA ANTI VAKSIN?

Pengaruh gerakan anti-vaksin tidak boleh dinafikan, namun ia perlu dibezakan daripada rasa ragu-ragu.

Berdasarkan gambaran media, anda mungkin bertanggapan bahawa terdapat fenomena anti-vaksin yang tersebar luas dengan orang-orang yang tegar menentang vaksinasi.

Gerakan itu memang wujud dan sangat lantang di media sosial. Namun hakikatnya rasa ragu-ragu adalah punca utama.

Sebilangan besar mereka (yang belum divaksin) berasa teragak-agak atau sikap acuh tak acuh dan sebab di sebalik perasaan itu adalah pelbagai, didorong keadaan yang berbeza-beza.

Sebaik sahaja anda mula bercakap dengan mereka, anda menyedari bahawa keraguan datang dari pengalaman dan dipamerkan dalam pelbagai bentuk.

Dan apabila anda mula menjejaki perkembangan seseorang dari semasa ke semasa, anda boleh melihat bagaimana keadaan boleh berubah.

Perbualan yang dicetuskan media mengenai sesuatu kontroversi akan mengubah sikap, dan saya juga pernah melihat orang berubah fikiran selepas menjadi ibu bapa.

Anda juga mendapati banyak tentangan dalam kalangan mereka yang mempunyai pengalaman buruk berhubung penjagaan kesihatan.

Misalnya, sesetengah orang mungkin teragak-agak jika mereka pernah pergi ke doktor yang kemudian mengambil ringan masalah mereka sambil gagal menawarkan sebarang penyelesaian.

PERNAHKAH ANDA LIHAT PERUBAHAN SIKAP?

Seorang wanita berusia 60-an tahun yang saya temui pada 2017, agak teragak-agak tentang vaksin.

Semasa usia mudanya dia bekerja sebagai jurujual farmaseutikal yang menjual ubat-ubatan kepada doktor.

Dia membuat kesimpulan bahawa keuntungan makmal adalah jauh lebih diutamakan daripada kesihatan orang ramai. Akhirnya, dia mual dengan kerjaya itu dan meninggalkan segala-galanya untuk membuka sebuah restoran piza.

Namun setahun selepas pandemik COVID-19 melanda, dia pergi untuk mendapatkan vaksin tanpa teragak-agak kerana dia sentiasa berhubung dengan pelanggan dan telah melihat ramai orang sakit atau meninggal dunia.

Dia berkawan dengan seorang jururawat yang bekerja di hospital yang sangat terkesan akibat pandemik.

Namun kadang kalanya, perubahan sikap boleh berlaku secara negatif.

Seseorang yang saya kenali, berasa agak sangsi (terhadap vaksin) kali pertama saya bertemu dengannya. Kemudian, selang beberapa tahun, isu itu semakin kurang mendapat sorotan media.

Dia mula membuat kawan dan mula kenali kanak-kanak. Dia juga ada rakan-rakan yang bekerja sebagai doktor, dan mempunyai seorang datuk di rumah lalu mula berfikir tentang mendapatkan vaksin selesema untuk melindunginya.

Dia mula terfikir: "Saya dahulu muda dan memberontak tetapi saya dapat melihat bahawa risiko yang dikaitkan dengan vaksinasi sangat jarang berlaku."

Namun kemudian vaksinasi mula diwajibkan untuk mendapatkan pas kesihatan (di Perancis). Dia menukar fikiran kembali.

Dia berkata: "Saya tidak boleh terima jika disuruh (pihak lain) untuk melakukan sesuatu."

Pas kesihatan merujuk kepada sijil yang membenarkan seseorang memasuki ke satu-satu tempat atau sertai kegiatan berdasarkan status vaksin.

ADAKAH PAS KESIHATAN MEMBAWA HASIL SEBALIKNYA?

Dalam jangka pendek dan sederhana, pas kesihatan (di Perancis) membantu mendorong orang yang teragak-agak untuk mendapatkan vaksin, dengan sekali gus menyekat kegiatan kehidupan seharian mereka jika mereka masih enggan.

Namun pada masa yang sama, ia menggantikan keprihatinan kesihatan dengan keprihatinan sosial.

Kita telah mengalihkan orang ramai daripada situasi di mana mereka berfikir dari segi risiko pandemik - seperti sama ada seseorang yang rapat dengan mereka lebih terdedah kepada risiko atau jika mereka boleh terjangkit.

Bertindak seolah-olah keprihatinan ini bukan dalam pertimbangan orang ramai sedangkan ia menjejas sebahagian besar penduduk, tidak akan membantu dalam menghuraikan masalah keyakinan terhadap vaksin. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan