Images
  • kebakaran
    (Gambar: Bomba Sukarela Kalabakan)

Enam sekeluarga sambut Lebaran sehelai sepinggang rumah hangus dijilat api

KALABAKAN: Enam sekeluarga menyambut ketibaan Syawal pada Ahad (24 Mei) dalam suasana pilu apabila rumah mereka di Jalan Kebun Sepi, Kampung Kalabakan yang ditinggalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), musnah dalam kebakaran yang berlaku pada Jumaat (22 Mei).

Lili Fatrah Jafri, 23, ketika dihubungi, berkata beliau reda dengan dugaan yang menimpa keluarganya itu.

Menurutnya, kebakaran itu berlaku pada pukul 12:30 tengah hari pada Jumaat ketika seluruh keluarganya berada di rumah neneknya di Felda Umas, kira-kira 40 kilometer daripada rumahnya, di mana mereka tinggal sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

"Sudah dua bulan kami tidak pulang ke rumah selepas tinggal di rumah nenek dan kami dimaklumkan mengenai kebakaran itu oleh jiran menerusi panggilan telefon pada kira-kira pukul 2:00 petang," katanya.

Menurutnya, ketika ini beliau dan keluarga masih terkejut dengan musibah berkenaan yang berlaku sewaktu PKP dan menjelang Aidilfitri.

"Persiapan raya misalnya baju raya juga semua terbakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Sukarela Kalabakan, Abdul Kadir Imran berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 1:15 tengah hari sebelum sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dapati rumah papan itu sudah terbakar 95 peratus," katanya.

- BERNAMA/HA/ha

Top