Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Empat maut konvoi AS diserang di Afghanistan

 Tiga anggota tentera Amerika Syarikat dan seorang kontraktor tentera terbunuh dalam satu letupan tepi jalan pada Isnin petang (8 Apr) dalam serangan paling dahsyat dialami pasukan tentera Amerika Syarikat tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Empat maut konvoi AS diserang di Afghanistan

Askar Amerika Syarikat (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Apr 2019 10:23AM Dikemas Kini : 09 Apr 2019 10:26AM

KABUL: Tiga anggota tentera Amerika Syarikat dan seorang kontraktor tentera terbunuh dalam satu letupan tepi jalan pada Isnin petang (8 Apr) dalam serangan paling dahsyat dialami pasukan tentera Amerika Syarikat tahun ini. Serangan itu membayangi rundingan damai yang masih berterusan dengan Taliban, yang mengaku bertanggungjawab di atas serangan itu.

Letupan dekat Pangkalan Udara Bagram itu adalah yang terbaru disasarkan terhadap tentera Amerika Syarikat sedang negara itu menerajui rundingan damai di Afghanistan, lebih 17 tahun sejak Taliban disingkirkan.

Menurut misi Resolute Support yang diketuai NATO, konvoi askar tersebut melanggar bom tepi jalan yang turut mencederakan tiga askar Amerika Syarikat.

Awal sebelum itu, Taliban mengaku melakukan serangan tersebut apabila seorang pengebom nekad meletupkan kenderaannya yang diisi bahan letupan. Kumpulan itu berkata "beberapa penceroboh" terbunuh dan sebuah kenderaan berperisai "musnah sepenuhnya".

Bagram, pangkalan udara terbesar Amerika Syarikat di Afghanistan, terletak sekitar 50 kilometer dari utara Kabul.

Menurut jurucakap polis di wilayah Parwan, Salim Noori, letupan berlaku pada 5.40 petang (1310 GMT), dan menyasarkan konvoi tentera perikatan.

"Anggota perkhidmatan yang cedera sudah dialihkan dan sedang menerima rawatan," menurut kenyataan Resolute Support.

Serangan terbaru itu membawa bilangan askar Amerika Syarikat yang terbunuh di Afghanistan sejauh ini kepada tujuh orang, berbanding 12 yang terbunuh sepanjang 2018.

Amerika Syarikat kini mempunyai sekitar 14,000 askar di Afghanistan - jauh lebih kecil daripada jumlah tertinggi 100,000 sebelumnya - kebanyakannya dikerah melatih dan menasihati askar-askar dari Afghanistan.

Hampir 2,3000 askar Amerika Syarikat maut dan lebih 20,400 cedera di negara itu sejak tentera perikatan diterajui Amerika Syarikat menyingkirkan Taliban pada 2001.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan