Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ekonomi bayangan di M'sia bernilai RM300 bilion, kata Lim Guan Eng

Saiz ekonomi bayangan atau ‘shadow economy’ di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu berjumlah kira-kira RM300 bilion (S$99.1 bilion), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi bayangan di M'sia bernilai RM300 bilion, kata Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 13 Jan 2020 04:31PM Dikemas Kini : 13 Jan 2020 04:35PM

GEORGE TOWN: Saiz ekonomi bayangan atau ‘shadow economy’ di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu berjumlah kira-kira RM300 bilion (S$99.1 bilion), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata jumlah RM300 billion (S$99.1 bilion) itu adalah hasil daripada aktiviti ekonomi yang tersembunyi atau jenayah terancang yang terlepas daripada pihak berkuasa dan sukar dikesan.

Menurutnya, ketirisan hasil kesan daripada kewujudan ekonomi bayangan itu perlu diurus dan ditangani dengan baik.

"Jumlah ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, bukan sahaja akan menyebabkan kehilangan pendapatan yang besar kepada negara, bahkan secara tidak langsung mencerminkan ketidakcekapan agensi-agensi dan jentera penguatkuasaan kerajaan dalam membendung isu-isu berkaitan aktiviti ekonomi bayangan," katanya.

Encik Lim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia di George Town pada Isnin (13 Jan).

Beliau berkata, dari perspektif cukai, kehilangan pendapatan cukai daripada aktiviti ekonomi yang dihasilkan sektor tersembunyi itu akan mengancam kestabilan ekosistem percukaian negara khususnya dalam aspek memberi keadilan cukai dan kadar permatuhan cukai sukarela.

Justeru, beliau menyeru LHDN agar sentiasa meningkatkan jaringan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan agensi kerajaan yang lain dalam mempertingkatkan usaha bagi mengenal pasti dan menangani ketirisan hasil kesan daripada ekonomi bayangan itu.

"Saya sedia memberikan sokongan dan bantuan, sekiranya wujud sebarang masalah dalam mendapatkan kerjasama yang sepatutnya daripada agensi lain dalam jentera pentadbiran ke arah mencapai matlamat tersebut," katanya.

Sementara itu, Encik Lim berkata kerajaan bersetuju untuk menetapkan sasaran kutipan hasil cukai langsung bagi 2020 sebanyak RM154.676 bilion (S$51.11 bilin) berbanding RM147 bilion (S$48.58 bilion) pada 2019.

Walaupun saiz ekonomi Malaysia terus meningkat setiap tahun, katanya, kadar peningkatan peratusan kutipan cukai berbanding KDNK tidak menunjukkan korelasi yang sepatutnya.

"Sebagai contoh, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia bagi tahun 2017, walaupun saiz ekonomi mencecah RM1.353 trilion (S$0.45 trilion), nisbah cukai kepada KDNK Malaysia hanya berada pada paras 13.1 peratus.

"Kesannya, penarafan ini meletakkan Malaysia berada di bawah negara-negara perbandingan yang lain seperti Vietnam, Chile, Poland dan Korea Selatan yang masing-masing mencatatkan 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus dan 15.4 peratus," katanya.

Encik Lim berkata antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu adalah dasar pemberian insentif cukai yang agresif, penurunan kadar cukai setiap tahun, ketirisan hasil ekoran aktiviti pelarian dan pengelakan cukai serta kadar pematuhan cukai yang masih rendah di negara ini.

"Bagi mengatasi isu ini, kerajaan akan sentiasa merangka dasar fiskal yang dapat memelihara kepentingan semua pihak antaranya memperkemas dasar rasionalisasi insentif cukai pelaburan ke arah mewujudkan tadbir urus pemberian insentif yang holistik dan menguntungkan pada masa hadapan," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan