Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ebit Lew bantu siasatan kes gangguan seksual; polis ke kediaman cari bahan bukti

Pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
Ebit Lew bantu siasatan kes gangguan seksual; polis ke kediaman cari bahan bukti

Gambar: Ebit Lew/Facebook

Diterbitkan : 20 Aug 2021 08:10AM Dikemas Kini : 20 Aug 2021 08:11AM

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata siasatan kes itu akan diteruskan sehingga polis puas hati untuk merujuk kes kepada Jabatan Peguam Negara bagi nasihat dan arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan pada Kamis (19 Ogos).

Beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi selain menyebar sebarang bahan yang boleh menjejaskan siasatan kes tersebut.

Sementara itu, Ustaz Ebit ketika ditemui para wartawan berkata beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Ia satu fitnah yang sangat kejam dan melampau tetapi saya reda dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis," katanya.

Astro Awani pula melaporkan tiga buah kenderaan dipercayai milik polis dilihat memasuki kawasan kediaman Ustaz Ebit pada sekitar 4.15 petang pada hari yang sama.

Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai logo badan kebajikan pendakwah tersebut turut memasuki kawasan perumahan berkenaan.

Memetik laporan Sinar Harian, kunjungan polis itu difahamkan untuk menjalankan siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah itu.

Kenderaan polis kemudian dilihat keluar dari kawasan perumahan tersebut kira-kira jam 5.13 petang.

Encik Abd Jalil Hassan mengesahkan pasukan penyiasat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ke kediaman Ustaz Ebit untuk mencari bahan bukti termasuk telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.

Jelasnya, ia bukanlah satu serbuan mahupun penggeledahan, sebaliknya cuma pemeriksaan biasa, lapor Astro Awani. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan