Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Duterte yakin tidak boleh didakwa mahkamah jenayah perang bagi pembunuhan ribuan suspek dadah

Presiden Filipina Rodrigo Duterte hari ini (9 Feb) mengisytiharkan bahawa dirinya di luar kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang membuat siasatan terhadap beribu-ribu kematian di bawah kempen "perang dadah" yang dilaksanakannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Duterte yakin tidak boleh didakwa mahkamah jenayah perang bagi pembunuhan ribuan suspek dadah

Presiden Filipina Rodrigo Duterte semasa satu mesyuarat di Rusia. (Gambar: REUTERS/Maxim Shemetov)

Diterbitkan : 10 Feb 2018 12:10AM Dikemas Kini : 10 Feb 2018 12:14AM

DAVAO: Presiden Filipina Rodrigo Duterte hari ini (9 Feb) mengisytiharkan bahawa dirinya di luar kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang membuat siasatan terhadap beribu-ribu kematian di bawah kempen "perang dadah" yang dilaksanakannya.

Presiden Duterte mendakwa bahawa undang-undang tempatan Filipina tidak secara khusus melarang pembunuhan di luar bidang kehakiman.

Dalam satu ucapan hari ini, sehari selepas ICC mengumumkan tentang satu siasatan awal ke atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan, Presiden Duterte mengulangi ancamannya untuk menarik negaranya daripada satu-satunya mahkamah pengadilan dunia bagi jenayah peperangan itu.

Presiden Duterte yang mendalangi tindakan keras membanteras dadah sejak menjawat tugasnya pada 2016 akur bahawa pemerintah Manila sebelum ini menandatangani perjanjian yang menyebabkan tertubuhnya ICC tetapi mendakwa bahawa ia tidak disertakan dalam undang-undang tempatan disebabkan masalah teknikal.

Presiden Duterte menegaskan bahawa tiada peruntukan bagi jenayah pembunuhan di luar bidang kehakiman. Lantaran itu, tiada siapa yang boleh menuduhnya melakukan jenayah tersebut.

Meskipun polis menyatakan bahawa ia sudahpun membunuh hampir 4,000 suspek dadah, kumpulan-kumpulan hak asasi menjangkakan jumlah sebenarnya adalah sekitar tiga kali ganda.

Presiden Filipina yang lantang bersuara itu tidak puas hati bahawa negaranya merupakan yang pertama di Asia Tenggara untuk diletakkan di bawah siasatan awal oleh pendakwa raya ICC.

"Banyak lagi pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di merata Asia dan anda memilih saya. Anda sebaiknya mengetepikannya kerana saya akan menarik diri dari ICC," demikian ancaman Presiden Duterte.

Soal siasat awal ICC direka untuk membantu pendakwa memastikan sama ada terdapat bukti yang mencukupi tertakluk di bawah kuasanya. Ia boleh membawa kepada siasatan penuh dan kemudiannya dikenakan tuduhan.

Jurucakap Presiden Duterte, Harry Roque berkata bahawa Presiden Filipina itu "sangat yakin" akan terlepas daripada didakwa ICC.

Menurut Encik Roque, satu laporan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) tentang pembunuhan di luar kuasa mahkamah pada 2007 menyiasat peranan Duterte dalam 1,069 dakwaan pembunuhan di bandar Davao ketika beliau masih datuk bandar di situ.

Walau bagaimanapun, Duterte tidak didakwa dan Presiden itu menjangkakan hal yang sama kali ini.

Selain perangkaan rasmi, pihak berkuasa juga sedang menyiasat sekitar 2,000 kes lain yang berkaitan dengan pembunuhan berhubung dadah oleh suspek-suspek yang tidak dikenal pasti.

Dalam pada itu, ICC juga mengumumkan semalam (7 Feb) bahawa buat julung-julung kalinya, ia akan melancarkan dua soal siasat serentak iaitu satu di Filipina dan satu lagi di Venezuela .  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan