Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dulu rendang ayam "memisahkan" M'sia-Indonesia, tapi sekarang "menyatukan"

Banyak kali masyarakat Indonesia menghamburkan rasa marah terhadap Malaysia meskipun kerana "masalah sepele" (remeh temeh).

Anggaran Waktu Membaca:
Dulu rendang ayam "memisahkan" M'sia-Indonesia, tapi sekarang "menyatukan"

Gambar hiasan redang ayam. (Gambar: WAHYUDI / AFP)

Diterbitkan : 12 Apr 2018 05:54PM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 05:59PM

JAKARTA: Banyak kali masyarakat Indonesia menghamburkan rasa marah terhadap Malaysia meskipun kerana "masalah sepele" (remeh temeh).

Yang sering menjadi sasaran kemarahan mereka ialah Kedutaan Besar Malaysia, yang terletak di Jalan Rasuna Said di Kuningan, yang menjadi saksi kepada pelbagai demonstrasi berkaitan isu yang berbangkit.

Masalah isu remeh-temeh itu termasuklah asal usul masakan rendang.

Pada tahun 2010, Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif (Kemenparekraf) Indonesia mengambil langkah untuk mendaftarkan rendang sebagai makanan khas tradisional berasal dari Sumatera Barat dengan UNESCO.

Kementerian itu meminta warga Indonesia agar tidak lagi mempedulikan tindakan Malaysia yang mendakwa rendang adalah warisan mereka.

Namun apa yang berlaku baru-baru ini pastinya boleh diungkapkan dalam konteks yang berbeza apabila peserta dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin, tersingkir daripada program MasterChef UK kerana mendapat kritikan juri yang mengatakan "rendang ayam yang disediakannya tidak garing."

M'SIA, INDONESIA BERSATU GARA-GARA RENDANG AYAM 'CRISPY'

Warga siber dan media Indonesia turut mempertikaikan kritikan juri program itu - John Torode dan Gregg Wallace dan menyokong sepenuhnya masakan peserta dari Malaysia itu.

Media Indonesia turut menyiarkan laporan berita dan komentar mengenai isu berkenaan.

Antaranya, Agensi berita Antara yang menerbitkan rencana bertajuk "Ayam Rendang Dikritik Karena Tak Garing, Warga Malaysia Murka" dan akhbar Kompas ("Empat Negara Bersatu Bela Rendang", "Netizen dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam bersatu untuk membenarkan jika rendang tidak pernah garing").

Media Indonesia lain yang menyiarkan laporan yang sama ialah The Jakarta Post (Rendang has to be crispy,' MasterChef UK moment riles up Malaysians), Tribunnews (Sebut Rendang Harusnya Dimasak 'Crispy', Juri Masterchef UK Buat Netizen Indonesia Malaysia Geram!)

Warga siber Indonesia dalam media sosial dan aplikasi sosial turut membela keaslian rendang yang dimasak peserta dari Malaysia itu.

Mereka turut bersatu hati membela keaslian masakan rendang itu bersama warga siber Malaysia. Warganet @wandaChacha mengatakan, "Ini pertama kalinya saya mendengar rendang ayam harus garing kulitnya. Siapa yang makan rendang ayam dengan kulit yang garing?"

Twitter@nicoteane: "Saya suka lihat bagaimana rakyat Malaysia dan Indonesia bersatu menentang satu musuh yang sama: %&%$* tidak berbudaya yang berani mempertikaikan rendang".

Isu ayam rendang garing itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman.

Memetik kenyataan Encik Anifah: "Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa. Namun ada kalanya, sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati dalam sesuatu perkara," kata Encik Anifah.

Menurut satu komentar di media sosial Indonesia "Masalah sepele (remeh-temeh) boleh memisahkan, masalah sepele (remeh-temeh) juga boleh menyatukan!" 

Sumber : Bernama/NK.nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan