Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Wan Azizah bertegas perjuangan PKR demi rakyat

Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan seluruh anggota parti agar jangan lupa bahawa perjuangan PKR adalah kerana perjuangan rakyat.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Wan Azizah bertegas perjuangan PKR demi rakyat

Gambar fail Timbalan Perdana Menteri Malaysia. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 05 Apr 2019 08:33AM Dikemas Kini : 05 Apr 2019 08:35AM

SEREMBAN: Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan seluruh anggota parti agar jangan lupa bahawa perjuangan PKR adalah kerana perjuangan rakyat.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) merangkap Timbalan Perdana Menteri berkata beliau mahu perjuangan PKR sebelum ini, diteruskan kerana parti berkenaan tertubuh hasil perjuangan daripada titik peluh rakyat.

"Semua perjuangan kita adalah perjuangan rakyat bersama," katanya dalam ucapan sempena sambutan 20 tahun Keadilan, pada Khamis (4 Apr).

Turut hadir, Presiden PKR Encik Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Encik Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Encik Syed Husin Ali; Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Encik Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama, Ketua Sekretariat PH yang juga Menteri Luar, Encik Saifuddin Abdullah; Veteran DAP Encik Lim Kit Siang; Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim; Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Encik Aminuddin Harun, dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

Berucap di hadapan ribuan hadirin, Dr Wan Azizah turut menarik perhatian dengan mengimbau sejarah perit jerih yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

"Apa saya ingat satu yang menjadi sejarah kepada perjuangan ini ialah deklarasi Permatang Pauh yang mana ada satu insiden di mana saya didatangi seorang mak cik dan memberi saya 50 sen hasil titik peluh mak cik itu untuk perjuangan ini.

"Saya kata tak perlu...inilah saya rasa perjuangan ini perjuangan titik peluh, perjuangan rakyat kita teruskan. Mengenai mak cik itu, saya sampaikan untuk kita sama-sama mengingatinya," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau berdoa agar perjuangan PKR itu akan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Encik Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata usia 20 tahun bagi insan masih dianggap muda, tetapi bagi parti politik seperti PKR merupakan perjalanan jauh apatah lagi berdepan dengan cabaran dan ujian.

"PKR lahir daripada keringat rakyat dan bukan di istana, kita lahir di tepi jalanan hasil titik peluh dan aspirasi. Hari ini daripada parti yang kecil kita jadi parti terbesar dalam kerajaan.

"Hari ini rakyat bersama kita dan kita membentuk kerajaan. Walaupun landasan kita kerajaan, idealisme kita tetap kekal untuk mengangkat aspirasi rakyat," katanya.

Majlis sambutan 20 tahun Keadilan yang diadakan di Dataran Rantau bertemakan 'Dua Dekad Merakyatkan Reformasi' itu dihadiri ribuan hadirin terdiri daripada anggota parti dan penduduk sekitar. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan