Images
  • asean

Dr Vivian Balakrishnan gesa rakan dialog ASEAN bekerjasama tangani revolusi digital

BANGKOK: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menggesa rakan-rakan dialog ASEAN untuk bekerjasama dengan blok serantau untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran baru seperti revolusi digital yang sedang berlaku.

Dr Balakrishnan menambah Singapura komited kepada usaha tersebut dan menggalakkan ASEAN dan rakan-rakan luar untuk bekerjasama rapat dalam isu keselamatan siber juga.

Menurut beliau, ini boleh dilakukan melalui Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber ASEAN-Singapura yang akan melengkapi usaha ASEAN dalam bidang berkenaan.

Dr Balakrishnan berkata demikian di Mesyuarat Para Menteri ASEAN dengan Australia, Jepun, India dan Amerika Syarikat di Bangkok.

Beliau juga menekankan perlunya kerjasama yang lebih erat bagi pembangunan bandar bijak di bawah Rangkaian Bandar Bijak ASEAN.

Rangkaian tersebut akan membolehkan perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam menangani cabaran-cabaran pembandaran melalui teknologi inovatif untuk membantu memperbaiki kehidupan para penduduk ASEAN.

- CNA/RU/na

Top