Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir umum 10 kementerian, Dr Wan Azizah dilantik TPM

Kerajaan Pakatan hari ini (11 Mei) bersetuju mewujudkan kabinet kecil mengandungi 10 kementerian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 May 2018 03:18PM Dikemas Kini : 11 May 2018 10:16PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan hari ini (11 Mei) bersetuju mewujudkan kabinet kecil mengandungi 10 kementerian.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata 10 kementerian itu ialah Kewangan, Dalam Negeri, Pertahanan, Pendidikan, Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Luar Negeri dan Multimedia, Sains dan Teknologi.

10 kementerian itu perlu diisi segera, katanya, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama kerajaan Pakatan yang baru dibentuk selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

“Kami tidak mahu mempunyai kabinet yang besar bagaimanapun ada kementerian tertentu yang perlu diisi segera, “ katanya.

Beliau berkata Majlis Presiden Pakatan mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini untuk membincangkan beberapa dasar tertentu yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya Pakatan.

Hadir sama pada sidang media itu ialah empat pemimpin parti gabungan dalam Pakatan iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dr Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia malam tadi,  berkata nama-nama menteri yang akan menerajui kementerian masing-masing akan diumumkan esok (12 Mei).

Beliau berkata susulan mesyuarat hari ini, setiap parti akan mengadakan mesyuarat masing-masing untuk memutuskan kementerian mana yang mereka mahukan dan nama-nama calon mereka.

“Ini tidak bermakna semua cadangan mereka akan diterima kerana esok kami akan mengadakan mesyuarat penuh majlis presiden. Pada majlis presiden itu kami akan memuktamadkan nama-nama dan kementerian yang perlu kami isi.

“Ini tidak bermakna parti kami tidak bersatu. Kami merupakan satu parti tetapi adalah penting semua parti diwakili dalam kabinet kami,” katanya.

Setakat ini, katanya, jawatan yang diisi ialah beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Sumber : Bernama/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan