Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir tuduh Hadi Awang pengkhianat

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini (3 Jan) menuduh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat berikutan langkah parti itu untuk bertanding sendirian dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir tuduh Hadi Awang pengkhianat

Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: AFP/STR)

Diterbitkan : 03 Jan 2018 07:48PM Dikemas Kini : 03 Jan 2018 07:55PM

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini (3 Jan) menuduh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat berikutan langkah parti itu untuk bertanding sendirian dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau mendakwa tindakan PAS untuk tidak bersama-sama Pakatan Harapan itu dibuat semata-mata bagi memecahkan undi pembangkang yang secara tidak langsung akan memenangkan atau membantu Barisan Nasional memenangi PRU14.

Berucap semasa sidang media sempena pelancaran 'Harapan Baru: Policy Talks', Dr Mahathir mendakwa PAS tidak mempunyai kekuatan untuk memenangi banyak kerusi jika bertanding sendirian dan Datuk Seri Abdul Hadi maklum mengenainya tetapi sengaja berbuat demikian untuk membantu BN.

Pemimpin PAS itu sebelum ini dilaporkan berkata PAS mahu meletakkan calonnya bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU14.

Dr Mahathir juga menyifatkan Datuk Seri Abdul Hadi sengaja 'mengkafirkan diri' sendiri kerana bekerjasama dengan UMNO, satu amalan yang didakwanya bertentangan dengan 'Amanat Haji Hadi' yang menjadi ikutan pengikut PAS sejak dilafazkannya pada 1981.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata status sama ada mesyuarat agung tahunan (AGM) PPBM Sabtu lepas (30 Dis) mengikut perlembagaan parti atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Setakat ini RoS tidak kata apa-apa," katanya mengulas tindakan Ketua Bahagian PBBM Temerloh Amerus Che Onn yang semalam membuat aduan kepada RoS untuk menyiasat kesahihan AGM tersebut.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan