Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir tolak tanggapan negatif masyarakat antarabangsa terhadap minyak kelapa sawit

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penilaian dan tanggapan masyarakat antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia sebagai tidak adil dan hujahan mendakwa kegiatan penanaman kelapa sawit di negara itu menjejaskan ekosistem semulajadi adalah tidak benar.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir tolak tanggapan negatif masyarakat antarabangsa terhadap minyak kelapa sawit

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 17 Jun 2019 09:21PM Dikemas Kini : 17 Jun 2019 09:22PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penilaian dan tanggapan masyarakat antarabangsa terhadap minyak sawit Malaysia sebagai tidak adil dan hujahan mendakwa kegiatan penanaman kelapa sawit di negara itu menjejaskan ekosistem semulajadi adalah tidak benar.

"Minyak sawit merupakan minyak sayuran boleh dimakan yang paling murah. Ia juga mudah untuk ditanam, dan sebaik sahaja ditanam, ia boleh memberikan hasil tuaian sehingga 25 tahun, tidak seperti minyak lain seperti kacang soya dan biji sesawi.

"Oleh sebab itu, minyak sawit mampu bersaing (dengan minyak lain) dan mungkin akan menang. Jadi mereka mencipta idea ini bahawa kami memotong kayu untuk menanam pokok kelapa sawit dan memusnahkan habitat haiwan," kata Dr Mahathir semasa sesi soal jawab di Universiti Cambridge selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara’.

Sesi itu disiarkan secara langsung di Facebook Astro Awani awal hari ini (17 Jun).

Dr Mahathir yang kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari di United Kingdom turut mengkritik sikap hipokrit Barat yang menggunakan aspek alam sekitar untuk kempen antiminyak sawit mereka.

"Anda bercakap tentang alam sekitar, penebangan hutan, tetapi lihat pada Britain misalnya, di mana Hutan Sherwood? Adakah ia masih wujud? Adakah Robin Hood masih beroperasi dari sana?

"Kebanyakan hutan di Eropah telah dibersihkan, sehinggakan tiada lagi haiwan liar di Eropah. Tetapi di Malaysia, kami masih ada harimau. Jika anda mahu masuk ke dalam hutan, kami boleh hantar anda ke sana,” katanya secara berseloroh.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mahu bersaing dengan seluruh dunia secara adil.

"Kami perlu menjana wang daripada sumber yang kami ada. Kami perlu memanfaatkan sumber-sumber kami. Tanah kami yang subur sesuai untuk kelapa sawit, oleh itu kami mengeluarkan minyak sawit,” katanya.

Kerajaan Malaysia mengehadkan perluasan ladang kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar, memberi tumpuan untuk memanfaatkan bahan penanaman yang boleh meningkatkan hasil tuaian dan meningkatkan produktiviti tanpa perlu meluaskannya ke kawasan hutan baharu atau tanah gambut. Malaysia juga mengekalkan liputan kawasan hutannya sekurang-kurangnya 50 peratus.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan