Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir sindir Tunku Ismail tidak faham persekutuan

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini (4 Jan) menyelar Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dengan mengatakan bahawa putera Johor itu tidak memahami konsep persekutuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir sindir Tunku Ismail tidak faham persekutuan

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar fail: Manan Vatsyayana/Hani Amin/AFP)

Diterbitkan : 04 Jan 2019 11:01PM Dikemas Kini : 05 Jan 2019 01:08AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini (4 Jan) menyelar Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dengan mengatakan bahawa beliau tidak memahami konsep persekutuan.

Dr Mahathir berkata demikian selepas Tunku Ismail berikrar untuk terus bersuara tentang dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH), meskipun jika ia bermakna beliau menjadi "musuh Nombor 1 orang ramai".

Semasa satu sidang media yang diadakan, perdana menteri itu berkata: “Baginda (putera mahkota) tidak faham persekutuan. Mungkin sebab baginda masih belum dilahirkan ketika itu tetapi saya sudah dilahirkan pada waktu itu.

“(Konsep) persekutuan bermaksud ia mempunyai kuasa ke atas seluruh negara dan kita tidak boleh berkata ini dan itu tidak boleh dilakukan,” kata Dr Mahathir seperti yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata terdapat senarai yang menyatakan pengasingan kuasa dimiliki kerajaan negeri dan Pusat.

“Walaupun kita ada senarai pengasingan kuasa kerajaan negeri dan Pusat, ia tidak menyatakan bahawa kerajaan Pusat tidak boleh memberi pandangan dan komen terhadap kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri,” katanya.

Dr Mahathir juga mengambil perhatian bahawa putera mahkota itu tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

PUTERA MAHKOTA BERLAINAN PENDAPAT DENGAN PUTRAJAYA

Tunku Ismail sebelum ini pernah menyuarakan pandangannya terhadap dasar-dasar kerajaan persekutuan, terutamanya menerusi media sosial.

Misalnya, beliau menggesa kerajaan persekutuan supaya melabur dalam bidang jagaan kesihatan, termasuk membangunkan semula sebuah hospital awam di Pasir Gudang yang pembinaannya ditangguhkan sebelum ini, dan bukan membelanjakan wang itu untuk membangunkan "jambatan bengkok" antara Johor dengan Singapura.

Hanya bulan lalu, beliau mempersoalkan keputusan Putrajaya untuk mengekalkan Pulau Kukup sebagai sebuah taman negara yang diwartakan.

Ini meskipun kerajaan negeri Johor sebelum itu memutuskan untuk mengubah status pulau paya bakau kedua terbesar di dunia itu kepada sebuah tanah kesultanan.

Tunku Ismail kemudian menyatakan bahawa "orang luar" tidak sepatutnya campur tangan dalam perkara-perkara Johor.

Menulis di laman Facebooknya pada lewat Rabu (2 Jan), Tunku Ismail berkata beliau benar-benar mahu kerajaan PH untuk berjaya.

"Sesetengah orang mungkin tidak suka apa yang saya katakan tapi itulah cabarannya. Untuk terus bersuara demi rakyat yang tidak dapat menyuarakannya," katanya.

"Biarkan saya menjadi musuh anda No.1 sekiranya perlu. Saya konsisten dan tegas dengan prinsip saya."

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa kerajaan PH supaya "mula mentadbir... dan berhenti berperang antara satu sama lain... (dan) berhenti mempolitikkan setiap isu."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan