Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir sahkan projek laluan RTS akan diteruskan, namun akan "ambil lebih masa"

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini (17 Okt) mengesahkan bahawa Putrajaya akan meneruskan projek pembinaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir sahkan projek laluan RTS akan diteruskan, namun akan "ambil lebih masa"

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Oct 2019 08:53PM Dikemas Kini : 17 Oct 2019 08:56PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini (17 Okt) mengesahkan bahawa Putrajaya akan meneruskan projek pembinaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Bercakap dalam sidang media menyusuli pelancaran Dasar Pengangkutan Kebangsaan, Dr Mahathir berkata kerajaan Malaysia bagaimanapun meminta Singapura memberinya lebih banyak masa.

"Mengenai RTS, kami akan teruskan, tetapi perlu masa," katanya tanpa mengulas lanjut.

Laluan RTS itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura dan dijangka boleh membawa 10,000 penumpang dari setiap arah, setiap jam. Ia sepatutnya siap menjelang 2024 tetapi kini terlewat daripada jadual asalnya.

Pada Mei, kedua-dua negara bersetuju untuk menggantung pembinaan RTS itu sehingga 30 September.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Malaysia bersetuju untuk membayar balik kos sekitar S$600,000 kepada Singapura akibat penggantungan tersebut.

Penangguhan itu dilanjutkan tanpa sebarang kos tambahan selama sebulan kepada 31 Oktober, selepas pertemuan antara Menteri Pengangkutan kedua-dua negara bulan lalu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata semasa mengumumkan Belanjawan 2020 minggu lalu bahawa Putrajaya "bercadang untuk meneruskan" projek RTS sebagai satu huraian jangka panjang untuk menangani kesesakan rentas sempadan.

Awal minggu ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Malaysia akan membuat keputsuan berhubung RTS dalam dua minggu akan datang ini.

Encik Loke berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatannya Khaw Boon Wan selepas mendapatkan persetujuan Kabinet berhubung isu demikian.

Berhubung projek kereta api laju (HSR KL-SG), Dr Mahathir ia "akan ditangguhkan selama dua tahun."

"Sebab ia ditangguhkan adalah kerana kosnya yang tinggi. Kita tidak mampu menanggung kos itu kerana hutang kita terlalu tinggi. Kita menggunakan wang yang ada untuk menyelesaikan beban hutang daripada kerajaan sebelum ini."

"Jika tidak kerana hutang-hutang itu, projek HSR sudah diteruskan sekarang."

Pada September tahun lalu, Singapura dan Malaysia secara rasmi bersetuju untuk menangguhkan pembinaan HSR sehingga hujung Mei 2020, dengan Malaysia perlu membayar Singapura S$15 juta bagi kos yang ditanggung akibat penangguhan projek tersebut.

Semasa tempoh penangguhan tersebut, kedua-dua negara akan "terus berbincang cara terbaik meneruskan projek HSR dengan tujuan mengurangkan kos," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan ketika itu.

Pada Januari, kerajaan Malaysia menyatakan ia sudah membayar kepada Singapura kos tangguh projek HSR. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan