Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir kata tidak akan letak jawatan sebagai PM pada 2020

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menamatkan desas-desus yang mengatakan beliau akan memberi laluan kepada Encik Anwar Ibrahim tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir kata tidak akan letak jawatan sebagai PM pada 2020

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 03:44PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 03:47PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menamatkan desas-desus yang mengatakan beliau akan memberi laluan kepada Encik Anwar Ibrahim tahun depan.

Dalam wawancara yang dirakam semasa Sidang Puncak Asean di Bangkok hujung minggu lalu, wartawan Financial Times Stefania Palma bertanya secara langsung kepada Dr Mahathir sama ada beliau akan meletakkan jawatan pada 2020.

"Tidak. Tidak ada tarikh tertentu atau masa yang dinyatakan. Namun tempoh sebenar saya di situ bergantung kepada masalah yang kami hadapi.

"Saya mempunyai pengalaman menyelesaikan masalah kewangan dan mereka mahu saya menyelesaikan masalah sebelum saya meletak jawatan," katanya dalam klip wawancara yang diterbitkan pada Rabu (6 Nov).

Apabila ditanya sama ada beliau masih tetap dengan pendirian bahawa Encik Anwar akan menjadi penggantinya, Dr Mahathir tidak teragak-agak mengesahkannya dan menegaskan bahawa beliau sudah berjanji sedemikian.

Apabila Cik Palma meminta Dr Mahathir mengulas tentang teori konspirasi yang mendakwa beliau tidak berhasrat untuk melepaskan jawatan perdana menteri, Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau perlu berhati-hati dalam melantik pengganti kerana "kesilapan" beliau sebelum ini.

Sebelum ini Dr Mahathir telah memilih Encik Abdullah Ahmad Badawi dan kemudian Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia, sebelum memulakan kempen untuk menyingkirkan kedua-duanya.

Cik Palma mengambil peluang untuk bertanya sama ada keengganan Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan dengan segera juga bermakna beliau menganggap dirinya sendiri sebagai orang yang paling sesuai menangani cabaran dalam memimpin Malaysia sekarang.

"Buat masa ini, mungkin," kata Dr Mahathir.

Pakatan Harapan pada mulanya membentangkan rancangan peralihan kepimpinan yang menetapkan Encik Anwar akan menggantikan Dr Mahathir dalam masa tempoh dua tahun setelah pilihan raya umum. Namun tidak ada persetujuan formal tentang bila ini mesti berlaku.

Sumber : Today/Malay Mail/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan