Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir enggan jumpa Muhyiddin; anggap tiada keperluan

Dr Mahathir Mohamad menganggap tiada keperluan untuk beliau bertemu Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan pertikaian politik antara mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir enggan jumpa Muhyiddin; anggap tiada keperluan

Dr Mahathir Mohamad (kanan) dan Muhyiddin Yassin di sidang media di Kuala Lumpur pada 4 Mac 2016. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 08 Mar 2020 10:30PM Dikemas Kini : 08 Mar 2020 10:31PM

LANGKAWI: Dr Mahathir Mohamad menganggap tiada keperluan untuk beliau bertemu Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan pertikaian politik antara mereka.

Mantan Perdana Menteri itu, lapor BH Online, mengakui beliau ada menerima surat daripada Encik Muhyiddin yang meminta pertemuan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurut Dr Mahathir, beliau terpaksa menolak permintaan itu kerana sudah bertemu Perdana Menteri berkenaan termasuk menjelaskan pendiriannya sebelum ini.

Beliau juga mempertimbangkan bertemu Encik Muhyiddin jika pemimpin yang dikaitkan dengan kegiatan penyelewengan dikeluarkan terlebih dahulu daripada gabungan parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini.

“Dia ada utus (surat) nak jumpa saya. Saya dah jumpa dia dahulu dan terang pendirian saya yang tak berubah. Saya janji tak akan kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin pun dalam klip video janji tak akan bekerjasama dengan UMNO.

“Tetapi sekarang dia terima UMNO sebagai parti terbesar dalam kerajaan dia... parti dia enam orang (Ahli Parlimen) sahaja, UMNO 51 orang (Ahli Parlimen).

“(Disebabkan itu) Saya tak tengok apa sebab saya nak jumpa (Muhyiddin) melainkan dia sanggup buang orang itu (Ahli Parlimen UMNO) semua, maka saya boleh timbang untuk jumpa,” kata Dr Mahathir seperti ditukil BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Kedawang di Langkawi pada Ahad (8 Mac).

Awal dari itu, lapor BH Online, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan meminta Dr Mahathir berdamai dengan Encik Muhyiddin selepas timbul desakan dalam kalangan ahli BERSATU supaya mereka berdua kembali mengukuhkan parti.

Mengulas mengenai desakan ahli BERSATU agar beliau berdamai, Dr Mahathir berkata ia sukar dilakukan kerana masih memegang prinsip enggan bekerjasama bersama pemimpin yang didakwa di mahkamah.

“Saya tidak boleh berdamai dengan orang yang dituduh di mahkamah kerana mencuri berbilion ringgit. Saya kata ahli UMNO (boleh) masuk BERSATU, saya sedia terima dengan syarat mereka tinggalkan UMNO dan masuk secara diri sendiri.

“Tetapi Muhyiddin kata dia sanggup bekerjasama dengan orang yang dituduh mencuri. Itu saya tak boleh terima,” tokoh politik itu bertegas. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan