Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dr Mahathir dakwa ada unsur penipuan dalam pilihan raya ke-14

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini (28 Mei) mendakwa terdapat unsur penipuan sewaktu pengiraan undi Pilihan Raya Umum ke-14.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir dakwa ada unsur penipuan dalam pilihan raya ke-14

Perdana Menteri Malaysia Dr. Mahathir Mohamad. (Gambar: AFP/Jewel Samad)

Diterbitkan : 28 May 2018 10:27PM Dikemas Kini : 28 May 2018 10:30PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad hari ini (28 Mei) mendakwa terdapat unsur penipuan sewaktu pengiraan undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehinggakan ada calon-calon Pakatan Harapan (PH) tewas dengan jumlah undi rosak yang tidak masuk akal dan mengejutkan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata keputusan itu sekaligus menyebabkan gabungan parti-parti dalam pakatan itu tidak mendapat keputusan yang baik walaupun berjaya memenangi PRU14, 9 Mei lalu.

“Ada calon yang sudah menang, tiba-tiba datang peti undi lain yang menyebabkan kita kalah. Ada juga kes di mana undi rosak mencecah 700 hingga 800 undi. Takkanlah orang Malaysia ini bodoh sangat.

“Berapa banyak kerusi yang hilang? Kami masih mengira...agak banyak, saya tidak dapat mengatakan beberapa jumlah. Bukan sahaja parti (PPBM) tetapi parti lain juga,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Ditanya jika kerajaan akan membuat perubahan termasuk menukar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan unsur penipuan tersebut, Dr Mahathir berkata: “Bagi parti berkenaan, kami akan membangkitkan kes-kes ini, bergantung kepada penemuan...jika kita mempunyai alasan atau tidak, apa jua tindakan yang perlu akan diambil.”

“Saya difahamkan beliau (Pengerusi SPR), mahu meletak jawatan tetapi jika ia berbuat demikian dan jika ada apa-apa terhadapnya, tindakan akan diambil mengikut undang-undang negara,” katanya.

Mengenai mesyuarat tersebut, Dr Mahathir berkata kebanyakan perbincangan tertumpu kepada masalah-masalah yang wujud selepas PRU14 selain permintaan ribuan anggota UMNO untuk menyertai PPBM ketika ini.

Beliau berkata pihaknya akan menentukan status mana-mana permohonan hanya apabila anggota UMNO mengisytiharkan diri keluar daripada parti dan menyatakan pendirian terhadap PH.

Jelasnya, mesyuarat berkenaan juga membincangkan hala tuju seterusnya selepas misi menumbangkan mantan perdana menteri, Najib Razak berjaya dilakukan.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan