Images
  • mahathir (5)
    Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad (Gambar: AFP)

Dr Mahathir akui pernah terima hadiah 26 kereta

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mengakui pernah menerima hadiah sebanyak 26 kereta sepanjang menjadi Perdana Menteri keempat.

Bagaimanapun, beliau berkata semua kereta itu sudah dipulangkan dan orang ramai yang ingin melihat kereta itu boleh menyaksikannya di Galeria Perdana, Langkawi.

"Sekarang tak boleh dapat banyak hadiah, dulu masa saya jadi perdana menteri (keempat) saya terima 26 biji kereta, jadi saya beri baliklah. Kalau nak tengok, boleh pergi (Galeri Perdana) Langkawi," katanya secara berseloroh.

Menurut Dr Mahathir, ketika ini anggota pentadbiran tidak boleh menerima hadiah bernilai lebih daripada RM500 (S$164), tetapi boleh menerima hadiah dalam bentuk makanan dan bunga.

"Mereka mahu hantar kepada saya satu tan dodol. Mereka hantar banyak sangat jadi saya terpaksa agihkan semula. Saya tidak tahu sama ada ini rasuah atau tidak,” katanya sambil bergurau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali kelapan hari ini (14/5).

Menurut Dr Mahathir, semua menteri juga perlu melaksanakan pelan anti rasuah peringkat organisasi masing-masing dan menentukan ia berjaya dibangunkan. 

Semua menteri juga perlu mempengerusikan mesyuarat pemantapan pentadbiran, integriti dan anti rasuah peringkat kementerian  sekurang-kurangnya dua kali setahun, katanya.

Dr Mahathir berkata setiap menteri juga perlu memastikan ketelusan perolehan awam dan pengurangan risiko rasuah di kementerian masing-masing.

Katanya menteri perlu memastikan maklumat pemohon yang berjaya dalam perolehan tender terbuka yang diluluskan diperingkat Lembaga Perolehan Kementerian bagi semua kategori perolehan, dipaparkan dalam portal myProcurement.

Ditanya mengenai pihak yang akan memantau semua inisiatif itu, Dr Mahathir berkata Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) akan membuat pemeriksaan berdasarkan aduan daripada orang awam.

Beliau berkata mesyuarat JKKMAR itu diadakan pada setiap bulan kerana kerajaan merasakan rasuah adalah jenayah yang akan menghalang kejayaan negara dan memerlukan tindakan pelbagai agensi dan setiap anggota pentadbiran.

"Semuanya memainkan peranan untuk mencegah rasuah dan masing-masing perlu tahu apakah cara mereka bergerak untuk mencegah rasuah sebab itu kita adakan mesyuarat berkali-kali untuk semak laporan kemajuan yang dicapai," katanya.

- BERNAMA/SS/sm

Top