Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

DPM Zahid tegur Mahathir, Muhyiddin jangan 'sibuk' buat tuduhan terhadap BN

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukannya melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Barisan Nasional (BN).

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Zahid tegur Mahathir, Muhyiddin jangan 'sibuk' buat tuduhan terhadap BN

Gambar: Zahid Hamidi/Facebook

Diterbitkan : 03 May 2018 10:03PM Dikemas Kini : 03 May 2018 10:08PM

BAGAN DATUK: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bukannya melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan Tan Sri Muhyiddin bahawa BN akan melakukan apa sahaja bagi menghalang rakyat di negara ini keluar mengundi pada 9 Mei depan merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Tidak munasabahlah. Dulu dia (Muhyiddin) pernah berada dalam kedudukan saya. Janganlah sudah tidak ada dalam kerajaan buat dakwaan-dakwaan begitu, jagalah pengundi (Parlimen) Pagoh dan (Dewan Undangan Negeri) Gambir elok-elok," katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid mengulas dakwaan Tan Sri Muhyiddin kononnya BN akan melakukan apa sahaja termasuk kemungkinan menumbangkan pokok di atas jalan selain menawarkan wang kepada pengundi untuk mengundi parti itu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan melemparkan pelbagai dakwaan konon dirinya sering disabotaj bagi menggagalkan beliau bertanding pada PRU14 adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata taktik sama pernah digunakan Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri bagi meraih simpati rakyat pada ketika itu dan terus menggunakan taktik sama walaupun kini tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.

"Itulah taktik yang digunakan orang itu dan saya pun sudah tidak mahu gelar apa pun lagi kepada beliau kerana kita pernah tertipu dengan taktik yang digunakannya semasa menjadi pemimpin dan taktik sama masih digunakan tapi pendekatan berbeza," katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid mengulas mengenai dakwaan terbaru Dr Mahathir bahawa beliau disabotaj Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Subang sejurus tiba dari Terengganu, Selasa lalu (1 Mei).

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya dinaiki beliau ke Langkawi disabotaj oleh pihak tertentu.

Justeru, DPM Ahmad Zahid berharap rakyat di negara ini tidak tertipu dan perlu menolak taktik Dr Mahathir yang hanya sekadar mahu meraih simpati.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan