Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dokumen sulit Brexit kerajaan Britain bocor

Britain bakal berdepan masalah kekurangan bahan bakar, makanan dan perubatan, jika ia keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian, menurut ramalan dalam sebuah dokumen sulit rasmi yang dibocorkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dokumen sulit Brexit kerajaan Britain bocor

Gambar fail bendera Britain dan Kesatuan Eropah (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 12:37AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 12:40AM

LONDON: Britain bakal berdepan masalah kekurangan bahan bakar, makanan dan perubatan, jika ia keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian.

Situasi itu diramalkan dalam sebuah dokumen sulit rasmi yang dibocorkan, menurut laporan Sunday Times, namun tafsirannya dipertikaikan beberapa menteri.

Dokumen itu menyenaraikan kemungkinan pelabuhan sesak, tunjuk perasaan dan kekacauan meluas. Menurut laman Times lagi, ramalan tersebut dibuat Pejabat Kabinet bertujuan meramalkan kejutan Brexit tanpa perjanjian berbanding senario terburuk.

Bagaimanapun, menteri bertanggungjawab menyelaras persediaan Brexit tanpa perjanjian, Michael Gove, menolak dakwaan laporan media itu.

Katanya, dokumen itu menunjukkan situasi terburuk Brexit tanpa perjanjian dan perancangan untuk mengatasinya sudah dipercepatkan, sejak tiga minggu lalu.

Menurut Sunday Times, laporan itu menjangkakan sehingga 85 peratus lori yang menggunakan lintasan sempadan utama "mungkin tidak bersedia" untuk kastam Perancis, bermaka ia bakal menyebabkan gangguan di pelabuhan yang berlarutan sehingga tiga bulan, sebelum aliran trafik pulih.

Kerajaan juga percaya halangan sempadan antara Ireland Utara dan negara ahli EU, Republik Ireland mungkin akan berlaku kerana ia sedang menggerakkan usaha untuk mengelak pemeriksaan meluas sempadan yang disifatkan tidak berdaya tahan, menurut laporan itu lagi.

“Laporan itu disusun Pejabat Kabinet, minggu ini, di bawah nama kod Operasi Yellowhammer, ia menunjukkan bagaimana usaha sulit kerajaan dalam mengelak infrastruktur negara runtuh,” menurut Sunday Times.

Pejabat Perdana Menteri Boris Johnson berkata, pihaknya tidak mengulas mengenai dokumen yang bocor.

Seorang sumber kerajaan memaklumkan kebocoran itu dilakukan seorang bekas menteri yang tidak didedahkan kerana beliau mahu mempengaruhi rundingan dengan EU. 

Sumber : Reuters/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan