Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dikecam majikan gara-gara mengandung bukan pada giliran yang ditetapkan

Memang Jepun dikenali dengan budaya 'gila kerja' yang semakin mendapat perhatian warga dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Dikecam majikan gara-gara mengandung bukan pada giliran yang ditetapkan

Gambar: Telegraph

Diterbitkan : 04 Apr 2018 07:45PM Dikemas Kini : 04 Apr 2018 07:48PM

AICHI, JEPUN: Memang Jepun dikenali dengan budaya 'gila kerja' yang semakin mendapat perhatian warga dunia.

Menurut Reuters, sebanyak 191 kematian yang dilaporkan dalam tempoh kewangan tahun lalu dipercayai adalah berhubung kes terlalu kuat bekerja.

Ini sehinggakan Perdana Menteri Shinzo Abe terdorong untuk melaksanakan pembaharuan ke atas amalan-amalan bekerja termasuk mengehadkan kerja lebih masa dan juga menambah gaji pekerja sambilan dan pekerja kontrak.

Namun, di tengah-tengah isu yang meruncing itu, Telegraph pula melaporkan bahawa seorang wanita Jepun dikecam oleh majikannya baru-baru ini kerana hamil pada masa yang di luar gilirannya.

Wanita yang bertugas di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Aichi itu dituduh mementingkan diri kerana tidak mengikut jadual untuk mengandung, yang ditetapkan pengarah pusat tersebut.

Senarai tersebut juga memperuntukkan giliran pekerja wanitanya untuk mendirikan rumah tangga dan juga bagi melahirkan anak.

Pengalaman pahit wanita itu diutarakan oleh suaminya yang berusia 28 tahun yang menulis kepada Mainichi Shimbun, salah sebuah suratkhabar utama di negara berkenaan.

Suaminya berkongsi bahawa meskipun mereka berdua bertemu dengan pengarah pusat itu untuk meminta maaf, isterinya tetap "ditegur" kerana "mementingkan diri sendiri".

Beliau menulis: "Petugas jagaan kanak-kanak mengorbankan anak mereka sendiri untuk menjaga anak-anak orang lain. Ia adalah kerjaya mulia yang mengasuh anak-anak yang akan menempa masa hadapan negara ini.

"Saya menghormati isteri saya atas komitmen kepada kerjayanya dan saya akan terus menyokongnya. Syarat-syarat bagi mereka yang bekerja untuk mengasuh dan menjaga kanak-kanak adalah bukti negara yang mundur."

Telegraph melaporkan bahawa golongan wanita di negara itu terpaksa mengharungi budaya kerja yang sukar disebabkan diskriminasi jantina. Menurut laporan tersebut, Jepun berada di kedudukan ke-114 dalam kalangan 144 negara di senarai kesamarataan jantina Forum Ekonomi Sedunia tahun lalu.

Malah, isu diganggu semasa kehamilan - yang dikenali sebagai "matahara" dalam bahasa Jepun - menjadi antara isu utama di negara itu dengan separuh daripada wanita bekerja melaporkan bahawa mereka mengalami gangguan selepas bersalin. Satu daripada lima pula dibuang kerja, menurut Telegraph.

Menyusuli kes itu, ramai yang mengkritik pusat jagaan kanak-kanak itu dengan sesetengah daripadanya mendakwa bahawa peraturan-peraturan sedemikian melanggar hak kemanusiaan. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan