Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Di sini Nasi Lemak, di Indonesia Nasi Uduk... sama jiwa, sama popular

Di pantai timur Sumatra, nasi lemak sangat popular dalam kalangan penduduknya yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
Di sini Nasi Lemak, di Indonesia Nasi Uduk... sama jiwa, sama popular

Nasi Uduk. (Gambar: Facebook/ halaalife.com)

Diterbitkan : 11 Jul 2018 11:34PM Dikemas Kini : 12 Jul 2018 12:00AM

KUALA LUMPUR: Jika di Malaysia, nasi lemak menjadi kegemaran ramai, di Indonesia pula nasi uduk menjadi pilihan rakyatnya.

Bukan sahaja kedua-dua hidangan mempunyai persamaan tertentu, masing-masing sangat popular sehinggakan rangkaian restoran makanan segera McDonald’s memperkenalkan burger nasi lemak di Malaysia manakala hidangan set nasi uduk pula disenaraikan dalam menunya untuk tempoh terhad di Indonesia.

Nasi uduk yang asalnya dari Jakarta adalah makanan tradisi masyarakat Betawi yang merupakan penduduk asal kota itu. Bagaimanapun, nasi uduk kini boleh dinikmati di seluruh Indonesia.

Di pantai timur Sumatra, nasi lemak sangat popular dalam kalangan penduduknya yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Melayu.

Kalau nama nasi lemak diambil berdasarkan rasa lemak santannya, nama nasi uduk pula dikatakan daripada perkataan “uduk” yang membawa maksud susah kerana pada zaman dulu ia adalah makanan orang susah. Namun ada juga yang menyatakan bahawa “uduk” berasal dari bahasa Sunda, yang bermaksud bersatu atau bercampur.

RAMUAN MEMBEZAKAN RASA

Persamaan utama antara nasi lemak dan nasi uduk adalah kedua-duanya menggunakan santan. Perbezaannya pula adalah bahan-bahan yang ditambah ketika menyediakan nasi serta hidangan sampingan.

Untuk penyediaan nasi lemak, beras ditanak bersama santan, daun pandan, garam dan beberapa keping halia, manakala bagi nasi uduk pula, ramuan tambahan selain beras dan santan adalah daun salam, daun pandan, serai, daun limau, secubit gula dan garam.

Nasi akan lebih sedap sekiranya beras yang ditanak bersama pelbagai ramuan itu dikacau apabila separuh dimasak. Petua ini boleh digunakan untuk kedua-duanya, nasi lemak dan nasi uduk. Selain ditanak, nasi lemak mahupun nasi uduk juga boleh disediakan dengan cara mengukus.

Kedua-duanya, nasi lemak dan nasi uduk, akan mengeluarkan aroma wangi yang cukup kuat untuk memikat selera. Nasi pula dibungkus dengan daun pisang supaya aromanya tahan lama.

HIDANGAN SAMPINGAN

Nasi lemak atau nasi uduk, tentu saja tidak lengkap tanpa sambal pedas.

Nasi uduk dihidangkan dengan sos kacang pedas bersama hidangan sampingan termasuk telur goreng, ayam goreng, hirisan timun dan tempe goreng, dan sedikit taburan bawang goreng. Ada juga yang menambah hidangan sampingan lain seperti tauhu goreng dan bihun goreng.

Hidangan asal nasi lemak biasa termasuk sambal pedas, telur rebus, ikan bilis, kacang goreng dan hirisan timun, namun kini terdapat hidangan sampingan lain yang boleh ditambah seperti sambal udang, sotong, ayam, daging rendang dan lauk-pauk lain.

Jika dahulunya nasi lemak, mahupun nasi uduk dimakan sebagai sarapan, kini ia disediakan bukan sahaja pada waktu pagi malah untuk makan tengah hari atau makan malam. Di Indonesia, nasi uduk turut disajikan di majlis-majlis perkahwinan.

Dahulunya, nasi uduk yang dibungkus dengan daun pisang hanya dijual di pasar di sekitar Jakarta sehinggalah pada akhir 1960-an, sebuah kedai nasi uduk dibuka di Kebon Kacang, Jakarta. Kedai itu masih dibuka hingga ke hari ini.

Di Jakarta, masih ada penjaja yang menjual nasi uduk menggunakan gerobak. Harga satu paket nasi uduk dengan sepotong ayam goreng, telur goreng dan tempe sekitar 15,000 rupiah (S$1.50). 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan