Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Di Makkah, jemaah haji terpilih mendoakan dunia bebas pandemik

Pada tahun-tahun sebelum munculnya virus korona, sekitar 3 juta jemaah haji berpakaian serba putih dari merata dunia membanjiri tapak-tapak suci Islam untuk mengerjakan haji di bawah cuaca terik Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Di Makkah, jemaah haji terpilih mendoakan dunia bebas pandemik

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 07:08AM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 07:39AM

ARAB SAUDI: Pada tahun-tahun sebelum munculnya virus korona, sekitar 3 juta jemaah haji berpakaian ihram serba putih dari merata dunia membanjiri tapak-tapak suci Islam untuk mengerjakan haji di bawah cuaca terik Arab Saudi.

Kini dengan pandemik yang menghalang perhimpunan besar-besaran, hanya beberapa ribu jemaah - rakyat Saudi dan penduduk tetap - berhimpun di Arafah tahun ini bagi ritual haji paling penting. Kesemuanya mendoakan satu perkara yang sama.

Reputasi Arab Saudi terletak pada pelaksanaan tanggungjawabnya sebagai penjaga tapak-tapak suci Islam di Makkah dan Madinah dan pengelolaan haji secara aman, yang pernah dicemari oleh kejadian rempuhan, kebakaran dan rusuhan pada masa lalu.

Selama bertahun-tahun, kerajaan Saudi membelanjakan berbilion dolar untuk menjamin keselamatan salah satu perhimpunan agama terbesar di dunia.

Tahun ini ia menghadapi cabaran memastikan ibadat haji, satu kewajipan bagi setiap Muslim yang berupaya dan mampu serta merupakan sumber pendapatan utama kerajaan, selamat daripada COVID-19.

Untuk melaksanakannya, buat pertama kali dalam sejarah moden, kerajaan Saudi mengurangkan dengan banyak jumlah jemaah bagi memastikan langkah-langkah penjarakan sosial dipatuhi.

Menteri haji Saudi berkata pada Jun bahawa jumlah jemaah akan dihadkan kepada sekitar 1,000 orang tetapi tiada jumlah rasmi diberikan bagi mereka yang menunaikan haji minggu ini. Sesetengah media tempatan melaporkan angka sekitar 10,000.

Para jemaah yang memakai pelitup bertawaf mengelilingi Kaabah pada Khamis (30 Jul) dalam kumpulan-kumpulan kecil seramai 50 orang, setiap daripadanya menjaga jarak selamat antara satu sama lain diiringi seorang pegawai kesihatan yang memantau pergerakan mereka.

Tidak seperti tahun-tahun lalu apabila jemaah berpusu-pusu mengelilingi Kaabah, mereka kini dilarang menyentuhnya.

Kedatangan berjuta-juta jemaah dari merata dunia boleh menyebabkan penularan virus secara meluas dan ada jemaah pada masa lalu yang pulang ke negara asal mereka dengan penyakit pernafasan dan penyakit lain.

Maka kerajaan amat berwaspada kali ini.

Jemaah telah menjalani ujian perubatan dan mereka diminta kuarantin diri selama seminggu sebelum memulakan perjalanan mereka dan kemudian mengasingkan diri selama seminggu lagi di bilik hotel mereka.

Mereka diberi gelang elektronik untuk memantau pergerakan mereka dan sebuah beg mengandungi semua barang keperluan asas.

Di tanah suci, sekitar 3,500 pekerja ditugaskan di merata Masjidil Haram di Makkah untuk melakukan pembersihan menggunakan 54,000 liter cecair pembasmi kuman dan 1,050 liter cecair penyegar udara sehari-hari.

Lantai-lantai masjid diberus 10 kali sehari berbanding tiga kali sebelum ini.

Enam hospital dikhususkan untuk jemaah, serta 51 klinik dan 200 kenderaan ambulans dikerahkan ke tapak-tapak berbeza yang disokong 62 pasukan di lapangan dan 8,000 karyawan kesihatan.  

Sumber : Reuters/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan