Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dewan Perwakilan AS lulus langkah sekat import dari Xinjiang

Akta haramkan produk import dari Xinjiang atas dakwaan buruh paksa itu kini perlu diluluskan Senat dan ditandatangani Presiden Biden.

Anggaran Waktu Membaca:
Dewan Perwakilan AS lulus langkah sekat import dari Xinjiang

Gambar dipetik pada 4 Jun 2019 menunjukkan kemudahan yang dipercayai sebagai kem tahanan masyarakat minoriti Muslim di Xinjiang, China (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 10:06AM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 10:11AM

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada Rabu (8 Dis) meluluskan undang-undang untuk melarang import dari wilayah Xinjiang di China atas kebimbangan berkaitan buruh paksa, salah satu daripada tiga langkah menerima sokongan kuat ketika Washington meneruskan tindakan menyelar layanan Beijing terhadap minoriti Muslim Uyghur.

Dewan itu menyokong "Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur" dengan undi menyokong 428 berbalas 1 menentang. Untuk menjadi undang-undang, ia juga mesti diluluskan Dewan Senat dan ditandatangani oleh Presiden Joe Biden.

Langkah Uyghur itu akan mewujudkan "anggapan yang boleh disangkal" bahawa semua barangan dari Xinjiang, di mana pemerintah China menubuhkan rangkaian kem tahanan yang meluas bagi kaum Uyghur dan kumpulan minoriti Islam lain, dihasilkan dengan buruh paksa.

China menafikan dakwaan adanya penderaan di Xinjiang, namun pemerintah AS dan banyak kumpulan hak asasi bertegas bahawa Beijing sedang melakukan penghapusan kaum di sana.

Anggota Republican telah menuduh pentadbiran Presiden Biden dan rakan-rakan Democrat di Kongres sebagai sengaja melengahkan undang-undang itu kerana ia akan merumitkan agenda tenaga boleh diperbaharui presiden itu.

Xinjiang membekalkan sebahagian besar bahan untuk panel suria di dunia.

Rumah Putih dan anggota kongres parti Democrat menafikan menangguhkan rang undang-undang.

Memetik "kekejaman" hak asasi manusia China, pentadbiran Biden pada Isnin mengumumkan bahawa pegawai pemerintah AS akan memboikot Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing.

Dewan yang dikuasai Democrat itu juga meluluskan dua langkah lain berkaitan dengan China dan hak asasi dengan jurang undi yang besar pada Rabu.

Dewan mengundi 428-0 bagi ketetapan yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa melanggar komitmen hak asasi manusianya sendiri dengan bekerjasama dengan pemerintah China.

Ia mengundi 427-1 bagi ketetapan yang mengecam "pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan yang berterusan" dilakukan terhadap masyarakat Uyghur dan anggota kumpulan minoriti agama dan etnik lain oleh China dan menyeru tindakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan