Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Destinasi wisata kurang popular di Indonesia diserlahkan selepas sekatan sempadan dilonggarkan

Indonesia sedang melonggarkan larangan-larangan sempadannya secara berhati-hati dan berperingkat sedang ia membendung penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

NUSA TENGGARA TIMUR: Indonesia sedang melonggarkan larangan-larangan sempadannya secara berhati-hati dan berperingkat sedang ia membendung penularan COVID-19.

Menurut tinjauan wartawan Saifulbahri Ismail, pihak berkuasa juga sedang mempromosikan destinasi-destinasi yang kurang popular.

Ini bagi membangkitkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk dek pandemik.

Gunung Inerie yang tersergam indah adalah kebanggaan penduduk di kabupaten Ngada.

Ia adalah antara pelbagai daya tarikan di kabupaten ini, yang terletak di pulau Fores, wilayah Nusa Tenggara Timur.

Perkampungan di kaki gunung berapi itu menjadi daya tarikan pelancong yang ingin mendalami budaya tempatan.

Kristina, seorang anak jati Gurusina, cukup berpengetahuan tentang sejarah dan budaya desa ini.

Puak-puak di sini mengamalkan pelbagai adat turun-temurun.

"Sebelum kita mengenal agama, leluhur kita sudah membiasakan kita dengan budaya, sehingga sekalipun kita sudah menganut keyakinan apa saja, tidak mengira itu Kristian, Katolik, Hindu, Muslim dan lainnya, tetap kita harus mengenal namanya itu budaya," kata Pentadbir Lembaga Adat Gurusina, Kristina Mego.

Tidak jauh dari Gurusina, terletak kampung Bena.

Ia adalah destinasi pelancong paling popular di Ngada.

Struktur-struktur besar di sekitar kampung itu merupakan simbol budaya dan tradisi orang Bajawa.

Orang-orang Bajawa membina batu-bata itu untuk memperingati dan berkomunikasi bersama nenek moyang yang sudah lama meninggal dunia.

Kampung itu ditutup kepada pelancong akibat pandemik, namun dibuka semula baru-baru ini kerana jangkitan COVID-19 berjaya dibendung.

Para penduduk desa itu juga bergantung kepada pelancongan sebagai mata pencarian.

Golongan wanita di kampung itu menenun kain untuk menghasilkan cenderamata seperti skarf.

Pendapatan mereka dihakis oleh pandemik dan mereka perlu bergantung kepada hasil pertanian untuk bertakat.

Pembukaan semula kampung itu kepada pengunjung membawa kelegaan.

Namun pihak berkuasa masih berwaspada agar tidak berlaku lagi penularan koronavirus.

Tempat-tempat wisata di sini mungkin perlu mendapat pensijilan Kebersihan, Kesihatan, Keselamatan dan Sekitaran untuk menyelaraskan langkah-langkah COVID-19.

Pemerintah pusat mengenal pasti potensi pelancongan di desa dan ingin membangunkan sektor itu sebagai destinasi wisata alternatif.

"Sehingga nanti tidak ada kerumunan hanya di destinasi-destinasi unggulan, tetapi destinasi-destinasi alternatif desa wisata akan mulai mengambil peran yang lebih besar lagi dalam pemulihan parawisata kita yang berkualiti, berkelanjutan untuk kesejahteraan masyarakat, dan membuka lapangan kerja seluas-luasnya," kata Menteri Pariwisata dan Ekonomi Sandiaga Uno.

Industri pelancongan adalah antara teras ekonomi Indonesia.

Sedang Indonesia bersiap sedia untuk melangsungkan hidup dengan COVID-19, tarikan pelancong kurang popular seperti Ngada sangat nanti-nantikan lebih ramai pengunjung.

Sumber : CNA/ZM/SI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan