Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Derma berterusan untuk Notre-Dame dipalit kontroversi

Derma yang diikrarkan oleh para hartawan, syarikat dan anggota masyarakat biasa Perancis bagi pemulihan Gereja Notre-Dame, yang binasa teruk setelah dijilat api, hampir mencecah 900 juta euro (S$1.3 bilion)

Anggaran Waktu Membaca:
Derma berterusan untuk Notre-Dame dipalit kontroversi

Presiden Perancis Emmanuel Macron berikrar akan membangunkan semula Gereja Besar Notre-Dame di Paris.

Diterbitkan : 20 Apr 2019 03:44PM Dikemas Kini : 20 Apr 2019 03:50PM

PARIS: Derma yang diikrarkan oleh para hartawan, syarikat dan anggota masyarakat biasa Perancis bagi pemulihan Gereja Notre-Dame, yang binasa teruk setelah dijilat api, hampir mencecah 900 juta euro (S$1.3 bilion) selepas hanya dua hari - mencerminkan betapa berharganya mercu tanda kebangsaan itu kepada rakyatnya.

Bagaimanapun, sifat murah hati luar biasa itu menimbulkan persoalan dalam kalangan badan-badan amal serta para ahli politik dan pemerhati tentang mengapa sesetengah penderma perniagaan menghulurkan jumlah derma yang begitu banyak dengan cepatnya. Ini termasuk spekulasi tentang bagaimana mereka mungkin boleh mendapat manfaat daripada pengelakan cukai menerusi pendermaan itu.

Seorang anggota parlimen dari parti berhaluan kiri Perancis, France Unbowed (La France Insoumise) menyatakan cukai yang sepatutnya dibayar syarikat-syarikat besar boleh disalurkan kepada dana awam. Seperti kebanyakan netizen di media sosial, beliau juga mempersoalkan mengapa golongan fakir dan gelandangan tidak menerima sokongan yang serupa.

Derma amal daripada syarikat-syarikat mendapat faedah potongan cukai 60 peratus di Perancis, yang mencetuskan kritikan bahawa para ketua pegawai eksekutif dan beberapa pihak lain tidak semurah hati yang disangkakan pada mulanya. Individu-individu pula meraih manfaat daripada potongan cukai sebanyak 66 peratus.

Pendermaan besar pertama bagi Gereja Notre-Dame adalah sumbangan Francois-Henri Pinault, seorang hartawan Perancis yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kering - sebuah kumpulan jenama mewah berpangkalan di Perancis yang memiliki gedung-gedung fesyen Gucci dan Yves Saint Laurent.

Beberapa jam setelah pengumuman Pinault itu, pesaing hebatnya Bernard Arnault - lelaki terkaya Perancis yang juga ketua LVMH yang memiliki Louis Vuitton, menderma 200 juta euro (S$304 juta).

Menerusi seorang jurucakap, LVMH, yang meraih manfaat daripada pembebasan cukai besar bagi membina Yayasan Louis Vuitton di barat Paris - menolak tanggapan bahawa ia hanya cuba untuk meningkatkan imejnya.

Pihak yang mengkritik derma itu termasuk ketua kesatuan pekerja kedua terbesar di Perancis, yang merasa terkilan kerana dana itu tidak dapat diperuntukkan bagi mengatasi masalah sosial.

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan