Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dera ratusan kanak-kanak lelaki secara seksual, lelaki Norway dipenjara 16 tahun

Seorang lelaki Norway dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun, pada Jumaat atas tuduhan melakukan penderaan seksual ke atas ratusan kanak-kanak lelaki dalam kes yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dera ratusan kanak-kanak lelaki secara seksual, lelaki Norway dipenjara 16 tahun
Diterbitkan : 29 Jun 2019 09:00AM Dikemas Kini : 29 Jun 2019 09:01AM

OSLO: Seorang lelaki Norway dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun, pada Jumaat atas tuduhan melakukan penderaan seksual ke atas ratusan kanak-kanak lelaki dalam kes yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah negara itu.

Selama beberapa tahun, lelaki berusia 27 tahun itu menyamar sebagai gadis muda di Internet dan menggunakan nama Sandra, sebelum memeras ugut 460 budak lelaki, sebahagian besarnya berusia di bawah 16 tahun bagi memperoleh video seks mereka.

Bagaimanapun tuduhan yang dikenakan ke atas lelaki itu, yang termasuk penderaan seksual dan rogol hanya membabitkan 270 mangsa.

Lelaki itu yang juga merupakan seorang pengadil bola sepak menyamar sebagai gadis muda untuk mengumpan para mangsanya dengan kata-kata manis, menghadiah telefon bijak, gambar bogel atau ganjaran seksual bagi memperoleh video seks mereka -- dan dalam beberapa kes, untuk berjumpa dengannya -- sebelum mengancam akan menyebarkan kesemua rakaman berkenaan.

Lelaki itu mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan ketika hadir di Mahkamah Daerah Nedre Romerike di kawasan tenggara negara itu.

Hukuman yang dijatuhkan itu antara yang paling berat pernah dijatuhkan ke atas pesalah kes penderaan seksual di negara Skandinavia itu dalam apa yang disifatkan pendakwa sebagai "kes penderaan seksual terbesar pernah berlaku di Norway".

Lelaki itu kali pertama ditangkap pada Jun 2016 namun dibebaskan dan meneruskan perbuatan itu sebelum diberkas buat kali kedua pada Oktober tahun yang sama.

Dia turut diperintahkan untuk membayar 18.6 juta kroner Norwegian (S$2.9 juta) sebagai pampasan kepada semua mangsa.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan