Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Denda hingga RM5 juta jika kelirukan pelanggan dengan status halal

Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga RM5 juta (S$1.7 juta) jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:
Denda hingga RM5 juta jika kelirukan pelanggan dengan status halal

Encik Mohamad Nordin Ibrahim. (Gambar: Datuk Hj. Mohamad Nordin Ibrahim/Facebook)

Diterbitkan : 12 Jan 2019 03:02PM Dikemas Kini : 12 Jan 2019 03:15PM

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga RM5 juta (S$1.7 juta) jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini (12 Jan) berkata, perkara tersebut berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

"Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta (S$330,000) atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama," katanya lagi.

Tambah Encik Mohamad Nordin, peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk membangunkan perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini. Sementara masyarakat pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja.

Beliau mengulas laporan Bernama pada 7 Jan berhubung kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) Ayob Abd Majid yang mencadangkan Jakim perlu mewajibkan pengusaha restoran untuk memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Jelas Encik Mohamad Nordin, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan dan ia berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tambah beliau.

"Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak," katanya lagi.

Encik Mohamad Nordin menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan yang disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan