Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Datuk Seri ditahan jual syiling emas potret Sultan Pahang

Polis Malaysia menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri kerana dipercayai menggunakan potret Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat siling emas tanpa kebenaran dalam satu serbuan di Batu Caves, Selangor pada petang semalam (8 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Datuk Seri ditahan jual syiling emas potret Sultan Pahang

Potret Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah digunakan untuk membuat siling emas tanpa kebenaran. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Jan 2019 11:08AM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 11:15AM

KUANTAN: Polis Malaysia menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri kerana dipercayai menggunakan potret Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membuat siling emas tanpa kebenaran dalam satu serbuan di Batu Caves, Selangor pada petang semalam (8 Jan).

Ahli perniagaan, yang berusia 30 tahun, itu ditahan pada pukul 7.15 malam semalam (8 Jan) menyusuli laporan polis yang diterima daripada pihak Istana Abdul Aziz, sebaik menyedari pembuatan dan penjualan Gold Coin (Syiling Emas) yang menggunakan potret berkenaan tanpa kebenaran daripada baginda berdua pada 28 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata berikutan itu, polis sudah melakukan siasatan serta risikan sebelum mendapati terdapat dua ahli perniagaan yang bergelar Datuk Seri dan Datuk terlibat dalam kejadian itu.

"Berdasarkan risikan yang dilakukan, polis kemudian berjaya mengesan Datuk Seri berkenaan di sebuah kedai makan dan menahannya kerana dipercayai menipu dengan melakukan pembuatan dan penjualan siling emas menggunakan potret diraja tanpa kebenaran," katanya hari ini (9 Jan).

Beliau berkata polis juga melakukan serbuan di sebuah rumah dipercayai milik rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dengan perbuatan tersebut pada pukul 10.30 pagi semalam (8 Jan), namun didapati tiada di rumah.

Siasatan mendapati lelaki yang turut bergelar Datuk itu keluar negara bersama keluarganya untuk bercuti sejak 23 Disember lalu dan semakan mendapati dia masih belum kembali ke Malaysia.

Susulan penahanan itu, polis merampas sebuah katalog penjualan siling emas itu, sekeping siling emas tertera potret Sultan Pahang dan Jata Pahang serta sekeping siling emas tertera potret Pemangku Raja Pahang dan Jata Pahang.

“Suspek turut mendakwa hanya membuat dua keping siling emas itu bagi tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya dapat dibawa menghadap Pemangku Raja Pahang bagi mendapat perkenan dan kebenaran.

“Berdasarkan penilaian polis mendapati kos pembuatan untuk sekeping siling emas hanya RM8,000 (S$2,638), namun suspek menjualnya dengan harga RM18,888 (S$6,229).

“Siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dilakukan dan polis sedang mengesan rakannya bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” kata Superintenden Mohd Wazir.

Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi (9 Jan) bagi perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes itu.

Sumber : Bernama/SU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan