Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Datin Rozita gagal hadir ke mahkamah

Mahkamah Tinggi menangguhkan permohonan semakan hukuman terhadap seorang datin yang didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Datin Rozita gagal hadir ke mahkamah

Datin Rozita yang mendera amahnya. (Gambar: Change.org)

Diterbitkan : 21 Mar 2018 04:09PM Dikemas Kini : 21 Mar 2018 04:10PM

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menangguhkan permohonan semakan hukuman terhadap seorang datin yang didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lalu.

Ini selepas Datin Rozita Mohamad Ali, 44, gagal hadir ke mahkamah semalam untuk mendengar prosiding tersebut.

Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tertuduh yang juga suri rumah, gagal dikesan di dua alamat berbeza yang diberi iaitu di Mutiara Damansara di Petaling Jaya dan Melaka.

Turut gagal dikesan adalah penjaminnya yang difahamkan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkalan di Pangkalan Udara Subang.

Terdahulu semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Muhamad Iskandar Ahmad berkata pihaknya sudah pergi ke rumah tertuduh dan penjamin wanita itu untuk menyerahkan notis hadir ke mahkamah semalam (20 Mac) , namun kedua-dua rumah berkenaan tidak berpenghuni.

Datuk Tun Abd Majid kemudian mengarahkan pihak pendakwaan meneliti syarat-syarat bon berkelakuan baik selama lima tahun yang dikenakan ke atas Datin Rozita sama ada ia turut mengandungi keperluan untuk tertuduh memaklumkan kepada mahkamah jika dia bertukar alamat kediaman.

Beliau berkata jika keperluan itu wujud, Datin Rozita boleh dikenakan tindakan kerana gagal dikesan serta tidak hadir ke prosiding hari ini (21 Mac).

“Penjamin pula tidak kira sama ada dia askar atau penjawat awam, kalau dia cuba menghalang tugas penjawat awam lain, juga boleh dikenakan tindakan,” kata beliau, yang kemudian memberi tempoh tujuh hari hingga Khamis depan untuk pihak pendakwa mengesan dan memastikan tertuduh dan penjaminnya hadir ke mahkamah.

Sumber : Bernama/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan