Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Dana 1M4U diguna untuk inisiatif 'I Love PM', dedah Syed Saddiq

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan mengkaji program sukarelawan 1Malaysia For Youth (iM4U) selepas mendapati program itu "disalahgunakan" oleh kerajaan sebelumnya bagi mempromosikan inisiatif "I Love PM".

Anggaran Waktu Membaca:
Dana 1M4U diguna untuk inisiatif 'I Love PM', dedah Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. (Gambar: Syed Saddiq/Instagram)

Diterbitkan : 14 Aug 2018 08:30AM Dikemas Kini : 14 Aug 2018 08:48AM

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia akan mengkaji program sukarelawan 1Malaysia For Youth (iM4U) selepas mendapati program itu "disalahgunakan" oleh kerajaan sebelumnya bagi mempromosikan inisiatif "I Love PM".

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata semakan juga mendapati bahawa dana bagi program sukarelawan belia itu banyak disalurkan kepada program "I Love PM".

"Apabila iM4U mula dibentuk, niat mulianya adalah mengenai (menggalakkan) aktiviti sukarelawan di Malaysia, tetapi ia telah disalahgunakan, malangnya, sebagai platform untuk inisiatif 'I Love PM'.

"Saya tak bergurau. Banyak dana telah digunakan ke arah itu juga," katanya kepada para wartawan semasa di lobi bangunan Parlimen pada Isnin (13 Ogos).

Agensi berita Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Syed Saddiq, yang juga Anggota Parlimen Muar, bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai jumlah dana yang didakwa disalahgunakan.

Malaysiakini difahamkan bahawa program iM4U sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri tetapi kini dipindahkan ke kementeriannya.

Mengakui bahawa program itu masih mempunyai kebaikan, Encik Syed Saddiq berkata: "Itulah sebabnya kami akan membawanya kembali ke objektif asalnya untuk memastikan golongan memainkan peranan dengan terlibat dalam kesukarelawan."

Malaysiakini menukil beliau sebagai berkata bahawa kementeriannya akan memastikan agar iM4U terus tertumpu kepada usaha memupuk semangat sukarelawan dan bukan memenuhi agenda politik mana-mana pemimpin tertentu.

"Sasaran saya adalah memastikan majoriti belia melakukan aktiviti kesukarelawan sekurang-kurangnya sehari setiap minggu.

"Ia bukan saja bagi menyediakan mereka sebagai pimpinan negara tetapi pada masa sama, memastikan setiap anak muda mempunyai tempat dalam proses pembangunan negara dan melalui mereka, masa depan negara akan terjamin," katanya.

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan